Radio KITA 24 Jam Sehari 7 Hari Seminggu

Radio Kita Untuk Kita Kita...
Launch in external player

Daftar Sekarang

Khas Untuk j-QAF Kent 2005 - .....

jqafkent Groups
Melanggan jqafkent
Email:
Lawat jqafkent groups

10 Mac 2009

Guru j-QAF Sarawak, Sabah diabai. (apa pandangan antum?)

Kiriman Sakinah Said <syifaa@yahoo.com>
 
artikel yang dipetik dari Berita Harian:
 
NASIB kami sebagai guru program kelas Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (j-QAF) di Sarawak agak malang. Saya rasa guru j-QAF di Semenanjung mungkin berbeza sedikit berbanding kami guru j-QAF yang jauh dari mata dan hati Kementerian Pelajaran. Itupun mungkin kerana mereka dekat dengan kementerian dan media. Apa juga masalah cepat saja dapat diselesaikan. Apa saja rintihan dan aduan sering mendapat perhatian. Sudah masuk tahun kelima kami warga j-QAF berbakti di bumi Sarawak, tetapi rasa seperti 15 tahun lamanya. Saya paparkan beberapa masalah yang dihadapi guru j-QAF untuk iktibar dan perhatian bersama.
 
Pertama, agihan jadual waktu mengajar yang sangat membebankan dan tidak adil. Contohnya, seorang guru j-QAF perlu mengajar 35-45 waktu seminggu berbanding guru lain termasuk guru Pendidikan Islam hanya puratanya 25 waktu. Paling menyedihkan, kelas tasmik al-Quran j-QAF yang dijalankan di luar waktu persekolahan sering disalah anggap. Kelas percuma itu dikatakan ada elaun. Seharusnya pihak sekolah memberi taklimat mengenai program j-QAF agar tidak menimbulkan salah sangka.
 
Namun, guru lain jika mengadakan kelas tambahan seperti Skim Baucer Tuisyen (SBT) dan Kelas Fardu Ain (Kafa), mereka akan dibayar. Purata perbezaan jumlah waktu mengajar antara guru j-QAF dengan guru lain adalah 10 waktu mengajar. Lebih teruk lagi, kebanyakan sekolah di Sabah dan Sarawak yang tiada pertambahan guru j-QAF, mereka terpaksa mengajar dari Tahun Satu hingga Tahun Lima. Bayangkan bagaimana persediaan untuk kelas dan rekod serta penilaian yang terpaksa dibuat.
 
Jika banyak kelas dari tahun yang sama tidak mengapa, ini pula lima kelas dari tahun berbeza. Belum dikira tugas lain lagi, dengan kokurikulumnya, tugas perkeranian, pembantu am rendah dan tukang kebun turut ada dalam senarai tugas guru j-QAF. Muridlah yang menjadi mangsa. Bagaimana hendak menumpukan perhatian jika beginilah keadaannya. Fikirkanlah.
 
Kedua, kemudahan prasarana j-QAF amat mengecewakan. Jika kementerian sanggup menghabiskan belanja besar untuk mata pelajaran lain, kenapa tidak kepada j-QAF? Memang betul ada sekolah menikmati kemudahan termasuk seperti bilik j-QAF, alat bantu mengajar, kursus dan latihan serta peruntukan menganjurkan program. Bagaimanapun, kemudahan itu hanya dinikmati sekolah tertentu. Bayangkan satu kelas terpaksa dibahagikan kepada tiga kumpulan. Kadang-kadang murid terpaksa belajar di padang. Pada zaman moden kini dan Malaysia dikatakan negara maju dalam pendidikan, masih ada fenomena itu. Hakikatnya, Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan.
 
Ketiga, guru j-QAF dianggap guru di luar kuota. Ada pentadbir sekolah mengatakan guru j-QAF tidak layak mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang (APC) disebabkan status guru j-QAF. Keempat, pertukaran guru j-QAF secara luar biasa. Ada guru j-QAF yang berjaya mohon pertukaran walaupun kontrak belum tamat. Semua gara-gara ada 'kabel.' Kalau kementerian membenarkan pertukaran, janganlah hanya kerana orang yang ada 'kabel' lulus. Kementerian mesti berlaku adil kepada semua guru j-QAF.
 
Baru-baru ini Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran mengeluarkan surat menyatakan guru j-QAF akan dipertimbangkan untuk pertukaran dengan syarat - suka sama suka, sudah dilantik dan opsyen yang sama. Tidakkah melampau dan tidak realistik syarat sebegitu? Alasan mereka mudah saja, tiada pengganti kalau dibenarkan berpindah. Tetapi, kenapa ditempatkan semua guru j-QAF yang baru di Semenanjung? Kenapa tidak di Sarawak? Sasaran pencapaian j-QAF di Sabah dan Sarawak tidak akan tercapai sekiranya keadaan itu terus berlaku. Guru j-QAF yang sudah lama di Sarawak dan Sabah sudah luntur semangat mengajarnya dek kerana sikap kementerian yang tidak peka dengan masalah mereka. Kerana itulah ramai guru yang tidak mahu ditempatkan di Sabah atau Sarawak.
 
Sebenarnya banyak lagi masalah yang terpaksa didiamkan begitu saja. Mungkin inilah cabaran yang terpaksa dihadapi guru j-QAF. Mungkin guru j-QAF insan yang akan mengembalikan wajah guru yang dulu seperti kata-kata sinis daripada guru lain 'janganlah berkira sangat, ustazkan pentingkan pahala bukan ganjaran dunia, banyak mengajar dan kerja kira bagus lah.'
 
Semoga kenyataan berkenaan dizahirkan dengan ikhlas.
GURU J-QAF TERLUKA,
Daro, Sarawak.
 
Sumber : Berita Harian
Sunday, March 1, 2009

09 Mac 2009

Setiap statement TGNA pasti berbisa

 Setiap statement TGNA pasti berbisa. Statement kali juga amat berbisa. Kalau dulu, TGNA kata Allah mencarut. Maka sekoyong-sokong anjing-anjing AMENO menyalak, TGNA sesat katanya. Kali ini TGNA kata, Allah adalah untuk semua.

Pada saya statement TGNA cukup berhikmah. Ia melambangkn betapa Islam mengiktiraf setiap manusia sebagai hamba Allah, Tuhan Yang Esa dan Maha Berkuasa. Walaupun manusia tersebut menyekutukanNya. 

Malah hujah TGNA ini bukannya dari pendapat beliau, untuk mendapatkan sokongan bukan Islam, jauh sekali ikut sedap mulut beliau. Statement ini berlandaskan Al-Quran. Kita cek sikit.

Firman Allah :

Pertama :  Dan Sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" tentu mereka akan menjawab: "Allah", Maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar).

Al-Ankabut : Ayat 61

Kedua :  Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?", niscaya mereka menjawab: "Allah". Katakanlah: "Maka Terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru selain Allah, jika Allah hendak mendatangkan kemudharatan kepadaku, apakah berhala-berhalamu itu dapat menghilangkan kemudharatan itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmatNya?. Katakanlah: "Cukuplah Allah bagiku". kepada- Nyalah bertawakkal orang-orang yang berserah diri.

 

Al-Zumar : Ayat 38.

 

Malah, dalam isu  trinty dalam Kristian, al-Quran menyebut dengan jelas kepercayaan mereka. Firman Allah : Sesungguhnya kafirlah orang0orang yang mengatakan: "Bahwasanya Allah salah seorang dari yang tiga", padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan yang Esa. jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir diantara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih.

Al-Maiah : ayat 73

Ayat-ayat di atas menceritakan bagaimana, kaum Kafir Quraisy, malah Yahudi dan Nasrani mengakui kewujudan Allah sebagai Tuhan. Yang menjadi kepincangan pada mereka hanya mereka enggan menyembah Allah, tetapi memilih untuk menyekutukanNya. Keengganan inilah yang menyesatkan mereka. Maka soal Allah hanya untuk umat Islam tidak timbul. Malah pada saya, statement TGNA adalah statement halus untuk menarik bukan Islam kepada Islam.

Selain itu, yang ditekankan oleh TGNA lagi adalah penggunaan "God" dengan maksud "Allah". Istilah God bermaksud tuhan secara umum, dan bukannya Allah Yang Esa. Sebenarnya, disinilah kesilapan KDN sebelum ini yang menyamakan God dengan Allah. Mungkin nak tutup malu, lalu mereka menyerang TGNA.

Di akhir statement TGNA, beliau berkata terpulang kepada kerajaan untuk membolehkan penggunaan Allah pada agama lain atau tidak. Ini bertepatan dengan satu kaedah fiqh yang berbunyi (تصرف الامام على الرعية منوط بالمصلحة ), yang bermaksud pentadbiran pemimpin, adalah bergantung kepada kepentingan rakyat. Denga kata lain, terpulang kepada kerajaan untuk buat keputusan mana yang lebih baik untuk umat Islam.

So, sepatutnya kerajaan berterima kasih kepada TGNA kerana tolong bagitau kerajaan bagaimana cara berfikir dan pada masa yang sama berdakwah kepada bukan Islam. Ni tidak, serang membabi buta, sekadar melihat keuntungan politik dalam isu sebegini.

Yang paling memalukan pada saya adalah statement menteri yang meminta TGNA cek dalam kamus dan ensyklopidia makna Allah. Cukup menyerlahkan kejahilan AMENO pada Islam. Adakah patut kita mengenal Allah Yang Maha Berkuasa, melalui kamus-kamus dan rujukan-rujukan lain selain al-Quran?

Yang terakhir, statement TGNA juga membuktikan betapa AMENO hanya memperjuangkan Islam pada sudut yang menguntungkan mereka. Kalau isu Hudud, siapa lagi yang paling kuat menentang kalu bukan AMENO. Kalau isu, sekolah agama SAR, siapa lagi kalu bukan AMENO yang menindas mereka. Isu aurat tak payah nak sebut lah.

Sebarang kesilapan, mohon teguran dari mereka yang lebih arif!

Sama-sama kita renungkan.

Beza Antara Merebut Nama Allah dan Mempertahankan Akidah

Isu dalam artikel ini telah ditulis oleh Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin setahun yang lalu. Dicadangkan untuk pembacaan.

Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: "Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.

Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini?

Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.


Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.

Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.

Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?

Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.

Firman Allah: (maksudnya) "Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) "Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (Wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.

Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut "Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan", maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.

Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan". Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: "Tokong ini adalah Allah". Saya kata: "Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak".

Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,

Allah menyebut: (maksudnya) "..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).

Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,

Allah menyebut: (maksudnya) "Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)". padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).

Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.

Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.

Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.

Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):"Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).

Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: "Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.

Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama 'Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!

Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:

"Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin 'Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)". Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.

Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.

Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.

Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).

Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.

Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.

Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?

Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka" (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da'iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.

Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya'kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.

Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.

Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.

Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.


Dipetik dari:
http://drmaza.com/home/?p=566#more-566

04 Mac 2009

Setiap pesakit akan mati pada hari Jumaat

Salah sebuah katil di dalam bilik ICU sebuah hospital ternama kerap mengalami kejadian pelik..

Setiap pesakit yang ditempatkan disitu pasti akan meninggal pada setiap hari Jumaat pagi tanpa mengira umur, jantina atau tahap kesihatan mereka Perkara ini sangat membingungkan para doktor...

Lalu para doktor memutuskan untuk memantau katil tersebut...mungkin makhluk halus ada menetap disitu. Apabila tiba hari Jumaat yang berikutnya.. . beberapa org doktor bersiap sedia untuk mengenalpasti penyebab kepada kematian di katil tersebut yang mana pada ketika seorang pesakit lelaki muda sedang tidur... Beberapa doktor memegang Yassin dan Quran sebagai persiapan menghalau makhluk halus.. Masa berputar... pukul 08:00am.. 08:30am sehingga jam 9....00 am ...






tiba-tiba... .....






Pintu bilik ICU itu terbuka.... Kemudian masuklah Makcik Timah Seorang pekerja sambilan sebagai pencuci yang hanya bertugas setiap hari jumaat.. Makcik Timah masuk... mendekati katil keramat tersebut... dan terus mencabut.... soket elektrik untuk alat pernafasan bantuan agar dapat menghidupkan. . vacuum cleanernya..

03 Mac 2009

Set Selamatkan Aqidah - Saudaraku, Jangan Murtad!! (Seruan Utk Anak Sabah)

Jumaat lepas kami menunaikan Solat Jumaat di Kampung Kobuni, Inanam. Kehadirannya seperti biasa tidak mencecah 35 orang. Apapun usaha Persatuan Siswazah Sabah (PSS) memohon dan memastikan Solat Jumaat dibenarkan untuk dilaksanakan di sini adalah usaha yang harus dipuji. Kalau di kampung sendiri pun Solat Jumaat tidak dapat pergi, masakan kalau dibuat di tempat lebih jauh lagi dapat dilaksanakan?

Minggu ini masuk minggu ketiga solat Jumaat dilaksanakan di kampung ini. Seusai solat, seperti biasa kami duduk berbincang isu-isu semasa bersama penduduk kampung. Dari isu kerajaan Perak, Elizabeth Wong, sampailah ke isu evergreen, khususnya di Sabah. Isu murtad. Pengislaman beramai-ramai zaman USNO di bawah Tun Datu Mustapha sekitar tahun 1975 untuk membolehkan Islam dijadikan agama rasmi negeri Sabah, tetapi tidak ada susulan pendidikan Islam kepada suadara baru menyebabkan banyak paksi Islam yang belum sempat ditanam kemas tercabut dari hati penganut.

Isu murtad bukan isu kecil. Ia melibatkan aqidah, penukaran terus akar dan pasak kepercayaan dan gugur keyakinan dari keimanan yang tunggal. Jangankan yang murtad, yang mengaku Islam pun kang kali kung. Tidak pernah solat, tidak menutup aurat, tidak kenal pun Islam. Anak-anak di sini, diajar solat, disuruh rukuk, mereka membuat gaya orang sedang menghisap rokok. Rokok je mereka pernah dengar. Rukuk? Tak pernah!

Paling menyedihkan, isu murtad bukan berlaku di tempat yang sayup-sayup, tak tercapai oleh mata telinga. Ia berlaku di laman rumah kita sendiri! Penduduk Kg. Kobuni menceritakan bagaimana di Kg. Kionsom Kecil, yang baru didiami oleh 8 buah keluarga, salah satu daripadanya telah murtad! Kes biasa-suami Islam, isteri ikut masuk Islam untuk kahwin, cerai, isteri murtad bersama anak-anak. Begitu juga dengan beberapa keluarga lain di situ, sedang keluarga-keluarga yang lain sentiasa terdedah kepada ancaman yang sama, ekoran banyaknya gereja dan hebatnya gerakan Kristianisasi di situ! Lapar? Kesian. Nah kami beri duit poket bulanan. Beras nak? Sardin perlu? Ish,ish..teruk juga kehidupan kamu ni. Orang Islam tak tolong? Kesian. Ramai macam kamu ni. Apa kata kita pergi jumpa kawan-kawan Ahad ni, bincang-bincang. Kat bawah tu je, dekat je. Ya, gereja tu. Penduduk bersungguh-sungguh mengharapkan supaya sekurang-kurangnya sebuah surau kecil dapat dibina di situ, selain kes murtad tersebut dirujuk kepada pihak sepatutnya. Bukan mereka tidak melakukan apa-apa, aduan telah dibuat kepada pihak JHEAINS, tetapi tidak ada tindakan diambil. Ah, orang-orang tua dari kaki gunung ini, abaikan sahaja..Bukan dia dapat menjejaskan apa-apa..

Sudahlah asyik melontarkan simpati berterusan kepada anak-anak Palestin yang kelaparan dalam peperangan, kerana mati mereka dalam keimanan. Usahlah sibuk membicarakan kemanusiaan dan kezaliman, kerana pergi mereka mendampingi Tuhan. Susukan dulu anak di halaman, sebelum menyusu kera di hutan, kerana tanpa susu, anak itu mungkin mati dalam kekufuran!

(PSS akan mengadakan ziarah ke Kampung Kionsom Kecil bertemu Ketua Kampung dan membincangkan masalah-masalah yang membelenggu penduduk di sana, menyampaikan tajaan Set Selamatkan Aqidah daripada anda, dan mengusulkan kepada JHEAINS supaya diberi peruntukan membina surau di sana dalam masa terdekat. Kami juga mengalukan sumbangan berbentuk kewangan atau bahan makanan.)

http://nurilhakim.blogspot.com

Khat Arabi

الخط والكتابة العربية الخط والكتابة العربية ميم همزة
Publish at Scribd or explore others: Books grammar Religion-Islam

Sukatan Baru

Asas-Asas Penyelidikan Pendidikan

Belajar Khat

تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي mahmoud تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي
Publish at Scribd or explore others: Study Guides, Notes, School Work تعليم خط الصف الأول

Doa Mengelak Wabak

Doa Mengelak Wabak

Mutiara Kata