Radio KITA 24 Jam Sehari 7 Hari Seminggu

Radio Kita Untuk Kita Kita...
Launch in external player

Daftar Sekarang

Khas Untuk j-QAF Kent 2005 - .....

jqafkent Groups
Melanggan jqafkent
Email:
Lawat jqafkent groups

18 Mei 2008

Sempena Hari Guru - Penghormatan kepada guru - Antara kebenaran dan kepalsuan

Sempena Hari Guru - Penghormatan kepada guru - Antara kebenaran dan kepalsuan

Guru merupakan insan mulia kerana menurunkan ilmu kepada anak-anak muridnya dengan sepenuh hati, walau bagaimanapun keberkesanan penyampaian ilmu bergantung kepada sejauh mana kesungguhan dan niatnya yang baik.

Islam sentiasa memberi panduan kepada para guru agar memperkasa dan memperbaiki diri agar menjadi golongan pendidik yang betul-betul memenuhi tuntutan seperti yang difirmankan oleh Allah SWT menerusi ayat 122 surah at-Taubah

yang bermaksud : Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan (di kalangan umat Islam) di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya (masyarakat) apabila mereka telah kembali kempangkuan mereka, supaya mereka (masyarakat) itu lebih berwaspada.

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menekankan dua perkara utama kepada golongan guru (yang menunutut ilmu) bagi mencapai keberkesanan penggarapan ilmu yang dipelajari:

  1. Arahan Allah untuk memperdalami dan bukannya kekadar belajar.
  2. Arahan Allah selepas proses penggarapan ilmu, menyedarkan masyarakatnya dengan memberi peringatan dan bukannya mengajar.

Kedua-dua konsep itulah yang meletakkan seseorang yang menuntut ilmu itu mencapai status pendidik iaitu satu kedudukan yang lebih tinggi daripada seorang guru.

Ini kerana, pendidik bukan sekadar mengajar atau mencurahan ilmu kepada pelajarnya, malah memastikan para pelajarnya benar-benar mempraktikkan segala ilmu yang digarap, di tambah pula peranan pendidik mampu menjiwai permasalahan yang dihadapi oleh pelajarnya serta mengadakan program susulan jangka panjang (long term follow up planning).

Berbeza dengan tugas seorang guru, kerana ada di antara mereka hanya sekadar mengajar dan mungkin juga tidak mempedulikan aspek program susulan, baginya yang penting mereka telah menyampaikan ilmu, tetapi sebenarnya keberkesanan sesuatu ilmu itu bergantung kepada lima perkara untuk mencapai status pendidik yang berdedikasi dan komited terhadap kerjayanya seperti yang pernah dilontarkan persoalan ini oleh Syeikh Prof dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya yang bertajuk "Rasul dan ilmu pengetahuan".

Di mana beliau ada menegaskan, bahawa apabila seorang pendidik itu mampu merealisasikan lima perkara berikut, nescaya dia melonjakkan kedudukan sebagai pendidik atau pewaris nabi-nabi, lima perkara itu adalah seperti berikut :

  1. Perasaan tanggungjawab terhadap agama, pelajar, masyarakat dan negara.
  2. Amanah keilmuan yang digarap, dalam erti kata, dia akan mengharamkan apa yang diharamkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, bukan sebaliknya, kerana ia adalah satu amanah yang besar yang akan disoal di akhirat nanti.
  3. Mengembalikan 'Izzah (kemuliaan) Islam yang dicerobohi oleh tangan-tangan pengkhianat dan perosak Islam dengan meletakkannya di tempat yang paling tinggi dalam kehidupan masyarakat.
  4. Ada perasaan tawadu' (rendah diri) terhadap orang lain.
  5. Beramal dengan kesesuaian ilmu yang digarap, dalam erti kata tidak menyanggah tindakan dengan penghayatan ilmu.

Sehubungan itu baginda Rasulullah s.a.w ada bertanya kepada Malaikat Jibril, berhubung siapakah golongan pendidik (ahli ilmu sebenar)?, Jibril menjawab : Sesungguhnya mereka ibarat pelana umatmu di dunia dan akhirat, beruntunglah mereka yang mengenali dan menghormati mereka dan nerakalah bagi mereka yang membenci serta menyanggah mereka (ahli ilmu/pendidik).

Konsep penghormatan kepada golongan pendidik

Jelas daripada hadis di atas, baginda telah menggariskan satu tindakan yang berkesan bagi meletakkan penghormatan sewajarnya kepada mereka.

Pengamalan dalam masyarakat umat Islam dalam negara kita yang berpaksikan nilai-nilai penghormatan terhadap golongan pendidik/guru adalah dijelmakan oleh fahaman barat, iaitu mereka diberikan hadiah tertentu walaupun pada masa yang sama para pelajar sebenarnya tidak bersetuju atau mengkritik guru-guru mereka atau mungkin juga berlaku biadap terhadap mereka, tindakan ini disifatkan menyalahi tuntutan ayat di atas yang sepatutnya mereka (pelajar) mendapat peringatan agar tidak meniru-niri gaya hidup masyarakat barat dan sebagainya.

Tetapi bagi menutup kesalahan dan kelemahan mereka, para pendidik/guru diraikan pada satu hari yang dikenali dengan 'hari guru', pelajar yang tidak menerima nasihat pun menghulurkan hadiah kerana inilah peluang bagi menyekat kemarahan atau kebencian guru terhadap mereka, pelajar yang datang dari keluarga berada walaupun tidak memiliki akhlak yang baik, mampu mengadiahkan gurunya pelbagai bentuk hadiah yang menarik, ini menyebabkan gurunya bias terhadapnya, rasa nak marah pun hilang dari mindanya.

Sedangkan pelajar yang benar-benar menepati ayat di atas tetapi kerana kemiskinan serta tidak mampu untuk menghadiahkan gurunya sebarang bentuk hadiah, dipinggirkan daripada minda dan sanubari guru, persoalannya di sini hadiah yang diterima oleh guru boleh disifatkan satu bentuk rasuah cara moden.

Inilah kejayaan musuh Islam bagi merenggangkan golongan pendidik/guru dengan para pelajarnya yang dihormati hanya pada satu hari iaitu "hari guru", sedangkan pada hari-hari yang lain mereka sudah tidak dihormati apatah lagi untuk melaksanakan arahan mereka untuk menjadi individu cemerlang, akibatnya mereka tidak sanggup untuk menegur atau memberi nasihat kepada para pelajar kerana disebaban hadiah yang diterima.

Akhirnya institusi pendidikan di kalangan umat Islam tidak mampu melahirkan individu-individu seperti Imam hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, al-Ghazali, Ibnu Sina dan ramai lagi.

Marilah kita sama-sama kembalikan maruah golongan pendidik/guru/ahli ilmu dengan menghormati mereka dengan bentuk yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu mendengar nasihat mereka, mengenali serta melaksanakan segala ajaran mereka dan bukannya membenci mereka apatah lagi menyanggah mereka dengan tindakan yang tidak sepatutnya.

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=14506&Itemid=28

PM umum insentif guru - 350,000 pendidik nikmati peluang naik pangkat lebih luas

PM umum insentif guru - 350,000 pendidik nikmati peluang naik pangkat lebih luas


JASA DIKENANG... Abdullah Ahmad Badawi mengucapkan tahniah kepada salah seorang penerima anugerah Tokoh Guru, Datuk Dr. Dzulkarnain Abd. Rahman (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh Hishammuddin Tun Hussein dan tiga lagi tokoh guru, Abu Bakar Shawkat Ali, Datuk Rashdi Ramlan dan K. Krishnasamy pada Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-37 di Ayer Keroh, Melaka, semalam.- Gambar ABDUL RAZAK LATIF

MELAKA 16 Mei – Kira-kira 350,000 guru di seluruh negara merayakan Hari Guru tahun ini dengan berita gembira apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan insentif baru bagi memperkasakan dan memartabatkan profesion perguruan di Malaysia.

Enam insentif itu termasuk keputusan Kementerian Pelajaran menaikkan pangkat dan gred guru-guru bukan siswazah yang telah melanjutkan pelajaran.

Berucap pada majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini, Perdana Menteri yakin dengan insentif-insentif itu guru-guru akan lebih bersemangat untuk bekerja.

"Saya berharap guru-guru akan berjalan sebatu ke depan. Inilah yang kita mahu.

"Mudah-mudahan apa yang diberikan ini akan diterjemahkan oleh para guru dengan bekerja lebih bersungguh-sungguh supaya kita dapat melahirkan pelajar yang lebih cemerlang,'' katanya.

Pengumuman itu disambut tepukan gemuruh lebih 3,000 guru yang mendengar ucapannya. Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Menurut Abdullah, kerajaan bersetuju untuk mengambil kira pengalaman mengajar guru semasa dalam skim bukan siswazah DGA29 untuk dipertimbangkan kenaikan gred secara time-base setelah berada dalam skim siswazah iaitu dari gred DG41 kepada DG44.

"Kaedah yang akan digunakan ialah setiap tiga tahun pengalaman di gred DGA29 akan dikira sebagai satu tahun pengalaman di gred SG41, tertakluk kepada had maksimum pengiraan sebanyak tiga tahun pengalaman DG41.

"Insentif ini merupakan satu tambahan kepada keputusan kerajaan sebelum ini untuk memberikan hadiah kenaikan gaji kepada kakitangan awam,'' kata beliau.

Perdana Menteri berkata, langkah itu juga bertepatan dengan gagasan kerajaan dalam membangunkan modal insan dan bersesuaian dengan dasar pensiswazahan guru yang menggalakkan guru-guru untuk melanjutkan pengajian mereka.

Beliau berkata, pada masa yang sama kerajaan juga bersetuju meluluskan cadangan supaya guru gred DG41 yang berasal dari skim bukan siswazah dan memegang jawatan guru besar akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat ke gred DG44 selepas tiga tahun berkhidmat sebagai guru besar pada gred DG41.

Susulan kepada penambahan kuota jawatan dalam skim cemerlang sebanyak 300 peratus pada tahun 2006, beliau memberitahu, kerajaan bersetuju untuk menambah baik dua syarat skim guru cemerlang.

Ini termasuk memendekkan syarat tempoh kelayakan guru cemerlang dari tujuh tahun kepada lima tahun pengalaman mengajar bagi pengisian jawatan guru cemerlang DGA32 dari gred asal DGA29 dan jawatan guru besar cemerlang DG44 dari gred asal DG41.

"Bagi pegawai yang telah dinaikkan pangkat guru cemerlang di sesuatu gred, mereka boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat ke gred selanjutnya tanpa perlu menunggu tempoh tiga tahun perkhidmatan dalam gred yang sedang disandang,'' kata Perdana Menteri.

Beliau turut mengumumkan peruntukan 10 peratus daripada 1,700 kuota guru besar cemerlang DGA38 akan diberikan kepada pengelola dan guru yang berkhidmat di Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dengan syarat mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang.

Selain guru dan guru besar bukan siswazah serta guru dan guru besar cemerlang, turut mendapat suntikan daripada insentif yang diumumkan itu ialah para pegawai pelajaran daerah (PPD).

Abdullah berkata, kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred PPD dari gred DG48 kepada gred DG52 dan DG54.

Selain itu, menurut Perdana Menteri, kerajaan juga akan menyeragamkan struktur pejabat pelajaran daerah di seluruh negara dengan memansuhkan pejabat pelajaran gabungan (PPG) bagi negeri Sabah dan Sarawak.

"Selain kenaikan gred PPD, penambahbaikan ini juga akan mewujudkan ratusan jawatan kenaikan pangkat baru untuk para guru yang berkhidmat di pejabat pelajaran daerah,'' ujar beliau.

Beliau turut mengumumkan kerajaan telah meluluskan cadangan penstrukturan baru Kementerian Pelajaran yang kali terakhir distrukturkan pada tahun 1995.

Peringkat awal kelulusan itu akan melibatkan pertambahan jawatan dan kenaikan gred bagi jawatan pengurusan tertinggi dan ketua bahagian dari gred DG54 hingga ke JUSA A.

Sebagai contoh, jelasnya, kesemua jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran kini diseragamkan pada gred JUSA A berbanding sebelum ini berbeza pada gred JUSA A, B, C dan DG54.

Beliau percaya penstrukturan itu dapat memantapkan sistem penyampaian pendidikan di setiap peringkat di negara ini.

Utusan Malaysia http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0517&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka%5FHadapan&pg=mh_01.htm

11 Mei 2008

Jasa ibu tidak dapat dinilai dengan wang, harta

Oleh Tuan Sidek Tuan Muda

TANGAN yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Itulah pepatah hebat sering bermain di bibir masyarakat bagi menggambarkan kedudukan serta peranan seorang ibu. Walaupun lembut, tetapi tangan inilah yang mengasuh dan mendidik anak menjadi manusia hebat.

Pengasuhan bukan bermula selepas kelahiran tetapi proses itu berlaku ketika dalam kandungan. Justeru, wanita mengandung sangat digalakkan bersabar, memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran serta menjaga pemakanan.

Ini bagi memastikan anak yang dikandung itu mendapat asuhan sebaik mungkin walaupun masih di dalam kandungan. Mengandung, mengasuh dan mendidik adalah tugas asasi seorang ibu. Ia bukan satu tugasan mudah dan memerlukan kesabaran tinggi.

Allah menggambarkan kepayahan seorang ibu melalui proses mengandung dan menyusukan anak dalam firman-Nya: "Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibu mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya, dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, dengan yang demikian bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapanya, dan ingatlah kepada Aku jugalah tempat kembali." - (Surah Luqman, ayat 14)

Apabila anaknya sakit atau demam, ibu sanggup untuk berjaga bagi memastikan anaknya selamat dan sihat. Selepas dua tahun, ibu akan terus mendidik dan mengasuh anaknya dengan penuh kasih sayang dan kesabaran.

Kasih sayang menyebabkan susah menjadi senang, sakit menjadi sembuh, penat menjadi cergas, mengantuk menjadi jaga, sibuk menjadi lapang demi untuk melihat anaknya menjadi insan berguna pada agama, bangsa dan negara.

Didikan dan kasih sayang ibu terus kekal selagi mana jasadnya dikandung badan. Tidak ada sesuatu yang boleh menghilangkan kasih ibu terhadap anaknya. Walau sejahat mana anaknya, ibu pasti sedih mendengar anaknya kemalangan atau meninggal dunia.

Hakikat inilah, Islam meletakkan ibu pada kedudukan selayaknya di sisi anaknya. Orang pertama yang mesti dimuliakan seorang manusia selepas Allah dan Rasul-Nya adalah ibu.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah: Telah datang kepada Rasulullah SAW seorang lelaki lalu berkata: "Wahai Rasulullah, siapakah orang pertama yang aku sepatutnya berbuat baik? Jawab Rasulullah SAW: Ibumu. Kemudian siapa? Jawab Rasulullah SAW lagi: Ibumu. Kemudian siapa? Jawab Rasulullah SAW lagi: Ibumu. Kemudian siapa? Jawab Rasulullah SAW: Bapamu." - (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kasih sayang, jasa dan pengorbanan ibu begitu besar kepada anak, yang tidak dapat dibayar walaupun dengan jutaan ringgit. Oleh itu, Allah memerintahkan berbuat baik dan taat kepada ibu bapa sehinggakan mengeluarkan perkataan 'ahh' sudah dikira derhaka apatah lagi jika menyakiti hati kedua-duanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Tuhanmu perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan 'uhh' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata: 'Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil." - (Surah al-Isra', ayat 23-24)

Allah sama sekali melarang melakukan penderhakaan kepada kepada ibu. Ia bukan setakat berdosa tetapi adalah salah satu dosa besar yang sangat dicela Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Adakah kamu ingin aku memberitahu kepadamu dosa besar? Baginda SAW menyebut sebanyak tiga kali. Berkata sahabat: Ya wahai Rasulullah. Bersabda Rasulullah SAW: Menyekutukan Allah, menderhaka kepada kedua ibu bapa, membunuh dan membuat sumpah palsu." - (Hadis riwayat Bukhari)

Semoga semua insan yang bergelar anak mentaati kedua ibu dan bapanya dengan melakukan kebaikan serta menjauhi daripada penderhakaan dalam apa juga bentuk. Jagalah lidah dan perbuatan supaya tidak mengguris hati mereka.

Jika ibu atau bapa sudah meninggal dunia, sentiasalah mendoakan keampunan dan kesejahteraan mereka kerana doa anak adalah salah satu amal yang dikira Allah untuk ibu bapa seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Apabila meninggal anak Adam, akan terputus segala amalannya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmunya yang dimanfaatkan orang ramai dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraannya." - (Riwayat Muslim, Abu Daud, Tirmizi, al-Nasaa'i, dan Bukhari)

03 Mei 2008

Guru disaran lestarikan kecemerlangan profesion

Bidang pendidikan perlu perancangan strategik untuk capai hasil

GURU perlu berfikiran global serta bertindak secara sistematik dan efektif untuk cemerlang, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Selain itu, katanya, mereka juga harus menguasai bidang masing-masing, mengamalkan etika profesion keguruan serta berpandangan jauh.


Beliau berkata, bidang keguruan adalah profesion mulia, manakala proses pendidikan pula lazim mengambil masa panjang untuk melihat hasilnya.

Sehubungan itu, Alimuddin menegaskan, tahap profesional guru perlu dilestarikan, sementara aspek kualiti serta kecemerlangan menjadi identiti profesion ini.

"Perjuangan guru untuk memartabatkan profesion keguruan sentiasa menuntut mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan, sama ada dalam menerajui proses pengajaran dan pembelajaran mahu pun mengurus serta memimpin bidang pendidikan.

"Justeru, langkah yang sudah dan sedang diambil untuk memartabatkan profesion keguruan akan hanya memberi makna jika kemudahan serta keistimewaan diberikan kerajaan kepada bidang kerjaya ini memberi impak positif terhadap peningkatan kualiti pendidikan secara keseluruhan.

"Saya menyeru warga guru terus komited terhadap tugas dan tanggungjawab dengan memberi khidmat terbaik sepanjang tempoh perkhidmatan masing-masing," katanya dalam kata alu-aluan menerusi laman web Kementerian Pelajaran sempena sambutan Perayaan Hari Guru 2008, 16 Mei ini.

Alimuddin berkata, tema perayaan Hari Guru kali ini 'Guru Cemerlang Negara Terbilang', melambangkan hasrat dan harapan Kementerian Pelajaran terhadap guru untuk menjayakan agenda pembangunan dan kemajuan negara menerusi pendidikan.

Dalam konteks ini, beliau berkata, matlamat dan objektif teras strategik Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 menuntut komitmen tinggi.

Katanya, matlamat dan objektif berkenaan meliputi menyediakan perkhidmatan pendidikan berkualiti untuk semua, membangunkan sebuah sistem pendidikan bermutu pada taraf dunia serta menjana modal insan negara.

"Tanpa komitmen, matlamat dan juga objektif digariskan dalam PIPP itu tidak mungkin akan dapat dicapai sepertimana diharapkan," katanya.

Penegasan itu sejajar penekanan sama diberikan Alimuddin dalam perutusan Hari Guru kali ini bahawa pendidikan adalah bidang mulia dan penting, malah menjadi asas pembangunan insan serta tamadun, selain wadah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran.

Katanya, pendidikan juga ialah bidang dinamik serta penuh cabaran, di mana ia menuntut perancangan strategik yang teliti dan pragmatik, perbelanjaan besar dan juga jentera pelaksanaan cekap.

"Pendidikan sentiasa terdedah dan terpengaruh dengan tuntutan perubahan selaras perkembangan semasa. Oleh itu, negara akan hilang daya saing, ketinggalan serta terpinggir dari kemajuan global jika bidang pendidikan tidak menjadi keutamaan atau tidak diuruskan secara cekap dan berkesan," katanya.

FAKTA NOMBOR:

Perayaan Hari Guru 2008

  • Ke-37 - Kali sambutan
  • 381,825 - Jumlah guru.
  • Petikan Berita Harian

    28 April 2008

    Dunia bagai wanita tua terbaring nazak menunggu ajal

    H Fansuri

    Kalau tidak salah saya, Buletin Utama pada Khamis lalu (24 April) telah menyiarkan satu laporan mengenai keadaan cuaca dan perubahan iklim di Semenanjung Tanah Melayu. Ia memberi laporan bahawa seluruh kawasan Pantai Timur akan terkena tempias perubahan cuaca dan ketidakstabilan iklim baru-baru ini.

    Ada laporan akhbar yang menuliskan bahawa sekarang ini, hampir semua lautan di dunia kini berhadapan dengan masalah yang akan menjejaskan kehidupan manusia pada masa depan jika usaha tidak dilakukan untuk menanganinya mulai sekarang.

    Menurut suatu kajian, antara kawasan laut yang paling teruk terjejas termasuklah Laut Utara, Laut China Selatan, Laut China Timur, Laut Caribbean, Pantai Timur Amerika Utara, Laut Mediterranean, Laut Merah, Teluk Parsi, Laut Bering dan Lautan Pasifik Barat. Bagaimanapun, kawasan yang paling kurang terjejas adalah berhampiran kutub.

    Tahun lalu, ada laporan menyebut bahawa ibu kota Thailand , Bangkok bakal tenggelam dalam tempoh 15 tahun bermula sekarang. Dalam kalangan insan yang arif, 'terus mata' dan menurut sahibul riwayat, kota yang banyak mengundang padah dan masalah terhadap penduduk Melayu Muslim di Selatan Thai itu akan tenggelam dalam 15 bulan saja lagi!

    Sudah tentu lautan yang akan menenggelamkan Bangkok . Hal yang sama berlaku dengan lagenda tenggelamnya bandar Atlantis, kerajaan di Tasik Chini, Pahang, kaum Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir besar, bangsa yang tenggelam di bawah Laut Mati serta lain-lain kerajaan yang pernah ditenggelamkan Tuhan.

    Pun begitu, ada juga lagenda yang menyebut Gunung Keriang pada asalnya sebuah pulau. Paras laut kemudiannya menurun sehingga wujud pendudukan manusia baru di situ. Dan, apabila paras laut surut dalam tempoh yang lama, pulau Keriang digelar sebagai gunung.

    Laut amat penting kepada manusia. 70% isi bumi adalah lautan dan 30% adalah daratan. Ertinya, laut ada kemampuan untuk surut membentuk kerajaan, negara baru dan ada masa pula paras laut akan naik meningkat lalu menenggelamkan kedaulatan kerajaan lama.

    Tubuh kita berasal daripada dunia ini. Ertinya, peratus air dalam tubuh lebih banyak dari daging di tubuh kita. Air di bumi yang diminum bertukar menjadi darah dalam tubuh lalu, makanan yang dicerna tercerna menjadi zat-zat protein yang bergabung menjadi bahagian daripada daging yang membalut tulang rangka kita. Demikianlah proses kehidupan.

    Sakit di kulit tubuh kita adalah sakit di kulit bumi. Kulit dunia yang cedera, disiat pembangunan adalah seperti yang kita rasakan. Air sungai yang kotor bagaikan darah kita yang dicemari toksin yang dimakan daripada makanan segera atau makanan yang disembur racun buatan manusia.

    Makanan pada zaman dulu, tiada unsur-unsur perubahan ini di mana segala isi kandungan genetiknya sekali pun telah pun diubah.

    Dunia yang dihuni pada hari ini sebenarnya tidak wujud seperti yang dilihat pada hari ini. Perubahan iklim cuaca yang menyebabkan manusia, kerajaan berpindah randah mencari penempatan baru. Kemarau yang melanda menyebabkan sesuatu puak akan bergerak bagi mencari penempatan baru bagi meneruskan penghidupan.

    Dunia bagaikan 'wanita tua' dalam peristiwa Isra' Mikraj

    Dalam peristiwa Isra' Mikraj, Rasulullah telah melihat gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Tetapi, dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.

    Gejala tanah runtuh di Malaysia baru-baru ini, jalan retak di Johor akibat banjir besar, pemanasan global adalah gejala yang lahir daripada kesakitan yang dialami 'wanita tua' ini sejak puluhan ribu tahun dulu ketika manusia berperang dan nazaknya makin kuat saat 'anak-anaknya' bersengketa, berlumba meletupkan nuklear, C4, water Canon, molotov.

    Mungkin di bawah perut 'wanita tua' (bumi yang kerap digelar 'ibu pertiwi') di Johor itu telah ada batu-batuan yang telah mula retak, patah disimbah asid kilang yang sudah mendap, meresap jauh dalam tanah, merosakkan nadi-nadi, sendi-sendi, saraf, tulang belakang dan saraf tunjang di tubuhnya.

    Dunia ini bagaikan ibu tunggal, wanita tua yang pernah jelita digilai pemuda ketika masa muda-muda dahulu. Dia mungkin sedang terbaring nazak, sambil memerhatikan gelagat insan yang masih gila berperang di hujung nyawanya. Dunia atau wanita jelita ini menjadi semakin tua lantaran karenah anak-anaknya yang sentiasa bersengketa!

    Apakah proses penuaan? Menurut satu tafsiran penuaan ertinya suatu proses pengurangan air dalam tubuh badan. Makin meningkat usia, makin berkurangan air dalam tubuh kita.

    Dunia kita begitu juga. Ia sudah tua dan peratus air laut berjumlah 70% itu berkurangan. Ia mungkin bukan berkurangan. Maksudnya, air yang berkualiti sejumlah 70% berkurang daripada peratus yang asalnya. Mungkin, kini cuma 30% air bersih. Dan baki 40% adalah air yang tidak berkualiti, tidak dirawat dengan sempurna, air keruh di Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan lain-lain limpahan kekotoran di sungai-sungai lain di dunia!

    Ben Halpern, saintis di Pusat Analisis Ekologi dan Sentisis Kebangsaan di Universiti California , Santa Barbara telah menyebut dalam satu kajian bersama pasukannya tentang lautan. Menurutnya, ada dua hal yang tak terduga mutakhir ini mengenai lautan kita.

    "Pertama, setiap sudut lautan di dunia sedah terjejas akibat sekurang-kurangnya satu kegiatan manusia. Kedua, lebih 40 peratus lagi terjejas akibat pelbagai kegiatan yang mereka lakukan. Lautan kita tidak berada dalam keadaan yang baik," katanya.

    Sementara itu, seorang penyelidik lain pula mendedahkan bahawa kadar oksigen di dalam air cetek di sepanjang pantai Oregon menurun hingga ke paras kosong untuk kali pertama pada 2006. Bagaimana hidupan laut ini akan bernafas di dalamnya? Jikalau tiada hidupan laut yang berzikir kepada Tuhan, nescaya dunia ini akan kiamat.

    Dunia ini diwariskan kepada manusia untuk menjaganya. Disebutkan di dalam al-Qur'an: "Aku (Allah) ingin menciptakan atas bumi ini seorang Khalifah." Lihat bagaimana Allah meletak diriNya sebagai pihak pertama, dunia pihak kedua dan manusia pihak ketiga.

    Jadi, siapa yang paling hampir dan rapat kepada Allah antara bumi dan manusia? Kita dapat merumuskan pendirian bahawa bumi itulah yang paling dekat kepadaNya berbanding manusia itu sendiri. Sejauh manakah kita memelihara dunia yang dilihat Rasulullah sebagai wanita tua ini?

    Adakah kita memeliharanya sebagai isteri tercinta, atau wanita pelacur, wanita simpanan dan wanita jalang? Prof Dr Syed Hossein Nasr dalam sebuah karyanya yang pernah saya baca menyebutkan manusia hari ini menggunakan dunia serta sumbernya seperti melayan seorang pelacur dan bukannya isteri.

    Seorang suami akan menjaganya setelah menikmati isterinya. Tapi, dunia hari ini telah dinilai sebagai wanita lacur di mana khazanahnya dipunggah untuk dinikmati dan hampas kekotoran telah disepahkan tanpa tanggungjawab.

    Tidak mustahil bahawa suatu masa nanti wanita pelacur ini akan bangkit memberontak dengan caranya yang tersendiri. Siapa yang jatuhkan menteri kesihatan Chua Soi Lek? Siapakah Altantuya dari Monggolia? Siapa Sufiah pelajar Oxford yang pernah meniti laluan sejarah gemilang?

    Mereka pada asalnya kaum baik, tetapi telah dibentuk oleh keadaan yang pincang, sistem yang musnah dan memusnahkan dan akhirnya mereka bangkit dan keluar memberontak dengan cara yang tersendiri. Jangan salahkan mereka. Mereka tak bersalah. Bukan salah ibu mengandung. Salahkan bapanya (penguasa) yang tidak memakai 'sarung'!

    Pemberontakan perempuan ini sama seperti pemberontakan dunia sebagai wanita tua kita, iaitu bumi atau dunia atau alam buana yang pernah kita zaliminya sejak sekian lama. Bencana besar bakal melanda!

    Kata sahibul riwayat, negara kita akan tertimpa bencana besar. Apabila saya sambungkan sanad riwayat ini kepada teman-teman, saya diketawakan. Apabila diajukan kepada orang tua di Bukit Tembaga, jawapannya, "Kena sedia dengan amalan, jangan hebahkan."

    Kata sahibul riwayat lain, adapun amalan itu adalah 44 kali bacaan al-Fatihah 3 kali Jumaat, (selepas solat Jumaat) secara berjemaah. Demikian kaifiatnya guna merawat roh alam yang sakit in secara alternatif. Wallahu 'Alam. Oleh kerana kita berasal daripada tanah, dunia kita menderita penyakit yang sama dengan kita. Dunia tidak ditimpa penyakit ketika dunia dihuni dinosaur dan haiwan-haiwan purba yang tidak banyak menggunakan senjata kimia.

    Setiap haiwan ada satu senjata. Tapi, manusia berbekalkan satu senjata, iaitu akalnya, dia boleh mencipta scud, tomahawk, kapal selam perang daripada Perancis dan ribuan senjata lagi. Dalam perang antara Habil dan Qabil itulah darah pertama jatuh atas nama dendam, sakit dan iri hati. Darah tertumpah atas niat jahat ini membuatkan dunia mula bergetar.

    Darah yang tumpah kerana kecelakaan jalan raya, penyembelihan haiwan untuk makanan tak termasuk dalam sebab yang boleh menyebabkan dunia bergetar. Lafaz talak misalnya, menurut satu riwayat boleh menggoncangkan tiang Arasy.

    Demikian 'hebatnya' manusia! Setiap perlakuan manusia yang buruk dapat menyebabkan porak-poranda di dunia ini. Kali terakhir nazaknya berakhir dengan kiamat di mana dunia tidak lagi dapat menanggung segala kebejatan akhlak yang timbul akibat perang manusia.

    Sungai-sungai di negara seperti pembuluh darah, urat-urat berselirat di dalam tubuh yang menjadi laluan darah selama ini. Tuhan mencipta sistem peredaran darah yang mengalir, mengaut sampah-sarap, mengangkut toksin di seluruh tubuh dan kemudian dihembuskan keluar sebagai karbon dioksida. (Bilakah sungai kota yang coklat akan jernih kembali?)

    Merah darah yang semakin pudar itu akan kembali cerah dan segar warna merahnya saat ia bergabung dengan oksigen. Ini kitaran sungai darah di mana putaran itu menyebabkan darah sentiasa mengalir lancar dan tidak tersekat pula oleh sekatan-sekatan di liang-liang urat yang kerap tersumbat dengan semak-samun lemak dan lain-lain unsur.

    Jika manusia sakit, maka doktor, tabib, pawang dan dukun itulah yang dirujukkan sebagai sandaran penawarnya. Tetapi, jika alam buana ini menderita kesakitan, kepada siapa yang kita majukan pertolongan, bantuan dan pengharapan?

    Siapakah doktor, tabib, dukun dan pawang yang dapat menyembuhkan derita sekali gus merawar 'kesihatan dunia kini?

    'Rawatan alternatif' kepada dunia?

    Akhir-akhir ini timbul istilah 'rawatan alternatif' yang mana cara merawat bersandarkan kepada getaran, aura, cakra dan lain-lain unsur yang tidak dapat dicerap penglihatan mata kasar. Alam kita mungkin dapat dirawat dengan kaedah itu di samping kaedah yang boleh dicapai pancaindera seperti hubungan kerjasama sejagat menangani 'global warming'.

    Di Bali, beberapa bulan lalu telah diadakan Sidang Kemuncak tentang Pemanasan Global dan Al-Gore yang pernah berlawan dengan Bush di Amerika telah menjadi juara di dalam sidang kemuncak tersebut. Beberapa resolusi telah pun dicapai. Itu kerja manusia Barat.

    Mungkin usaha manusia Barat ini boleh dianggap sebagai doktor atau tabib yang mencari penawar untuk tubuh, raga, alam kasar. Tapi, rawatan ini bukan untuk penyembuhan roh, jiwa. Jika tubuh terluka, maka penawarnya bersifat zat yang boleh dipegang. Tetapi, jiwa, roh yang terluka, terkoyak, penawarnya bersifat ghaib yang tidak dapat dicapai indera.

    Di mana usaha manusia Timur yang mana nenek moyang mereka dahulu terkenal dengan sifat mesra alam? Penyembuhan mereka ini dapat menumpukan kepada roh, jiwa. Di sini kita melihat peninggalan kesan jejak warisan terdahulu untuk menyembuhkan bumi ini.

    Islam misalnya mendidik kita bagaimana cara meminta hujan guna merawat kegersangan bumi yang tidak subur. Akal tidak dapat memikirkan bagaimana hubungan solat sunat ini dapat menyeru awan dan hujan kemudiannya akan turun.

    Inilah rawatan alternatif kepada alam ini. Al-Gore dan ahli-ahli dalam Sidang Kemuncak Pemanasan Global tak akan pernah terfikir dan terjangkau akan kaedah rawatan alternatif seumpama ini. Pada Barat, bumi ini kering dan tiada roh yang hidup menaungi bumi ini.

    Tapi, kita percaya bahawa alam ini punya roh tersendiri yang menghidupkan dan apabila ia pergi, maka kering dan gersanglah di sesebuah bumi itu dan apabila ia meninggalkan keseluruhan bumi, maka tamatlah usia bumi ini. Peristiwa ini dikenali sebagai kiamat.

    Setiap pokok ada roh sendiri yang mana pada malam-malam mereka akan pergi beramai-ramai menuju ke suatu tempat. Nenek moyang kita menyedari akan hal ini. Sebab itulah mereka tersasar memuja semangat padi, kononnya agar semangat itu tidak melarikan diri.

    Sehinggalah Islam tiba dan mengasuh mereka supaya sujud kepada Allah; tuan punya roh tumbuh-tumbuhan dan tanam-tanaman ruji dan sebagainya, maka nenek moyang kita pun terlepas bebas daripada amalan khurafat tersebut.

    Dalam tubuh kita begitulah juga. Ada beberapa anggota yang lumpuh menjelang hari tua seperti kaki, tangan. Ada beberapa tempat di bumi ini telah kering, gersang, lumpuh atau 'mogok', enggan bekerja seperti biasa untuk menumbuhkan pohonan hijau merendang.

    Jadi jangan kita fikir manusia sahaja yang pandai mogok dan berpiket. Bumi kita ini akan mogok (tidak mahu bekerja seperti biasa) dan pandai berpiket juga. Dan ia tidak perlukan permit polis untuk berpiket. Ketika itu, segala macam kekuasaan di dunia ini akan hancur melebur, malah PBB pun tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya tinggal berputih mata.

    Ada bumi yang mogok kerana perbuatan insan seperti operasi 'bumi hangus' yang dibuat oleh tentera Jepun dalam serangan mereka dahulu. Ada belahan bumi yang mogok hingga menyebabkan penduduknya terpaksa berpindah ke tempat lain.

    Insan jahat (penghuni neraka) bagaikan virus dan bakteria yang akan berperang bersama insan kamil (ahli syurga) seumpama antibiotik dalam tubuh kita. Maka, bumi telah bersedia untuk mogok dan berpiket menantikan saat itu.

    Adapun punca kenapa dunia ini bergolak adalah kerana penghuni neraka dan syurga telah berkongsi hidup yang sama di dunia ini. Sebab itu di akhirat nanti mereka akan dipisahkan antara syurga dan neraka sekali gus akan menghalang mereka daripada bertembung.

    Dunia oh dunia! Dunia ini akan selamat dan berjaya diselamatkan oleh mereka yang kuat dan ikhlas bernafas, jujur menjalani kehidupannya sebagai insan kami manusia sempurna. Dunia bergolak bukan kerana ia didiami oleh haiwan, tapi ia hancur kerana perutnya telah melahirkan manusia berperangai haiwan. Bukan salah ibu mengandung.

    Khat Arabi

    الخط والكتابة العربية الخط والكتابة العربية ميم همزة
    Publish at Scribd or explore others: Books grammar Religion-Islam

    Sukatan Baru

    Asas-Asas Penyelidikan Pendidikan

    Belajar Khat

    تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي mahmoud تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي
    Publish at Scribd or explore others: Study Guides, Notes, School Work تعليم خط الصف الأول

    Doa Mengelak Wabak

    Doa Mengelak Wabak

    Mutiara Kata