Radio KITA 24 Jam Sehari 7 Hari Seminggu

Radio Kita Untuk Kita Kita...
Launch in external player

Daftar Sekarang

Khas Untuk j-QAF Kent 2005 - .....

jqafkent Groups
Melanggan jqafkent
Email:
Lawat jqafkent groups

30 Mei 2007

Pendidikan Akidah

Oleh Wan Mohd Hujjatullah Ghazali

Pendahuluan

Pendidikan akidah merupakan asas kepada pembinaan Islam pada diri seseorang.
Ia merupakan inti kepada amalan Islam seseorang. Seseorang yang tidak
memiliki akidah menyebabkan amalannya tidak mendapat pengiktirafan oleh
Allah swt. Ayat-ayat yang terawal yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi
Muhammad saw di Makkah menjurus kepada pembinaan akidah. Dengan asas
pendidikan dan penghayatan akidah yang kuat dan jelas maka Nabi Muhammad saw
telah berjaya melahirkan sahabat-sahabat yang mempunyai daya tahan yang
kental dalam mempertahan dan mengembangkan Islam ke seluruh dunia. Bilal bin
Rabah tidak berganjak imannya walaupun diseksa dan ditindih dengan batu
besar di tengah padang pasir yang panas terik. Demikian juga keluarga Amar
bin Yasir tetap teguh iman mereka walau berhadapan dengan ancaman maut. Dari
sini kita nampak dengan jelas bahawa pendidikan akidah amat penting dalam
jiwa setiap insan muslim agar mereka dapat mempertahan iman dan agama Islam
lebih-lebih lagi di zaman globalisasi yang penuh dengan cabaran dalam
segenap penjuru terutamanya internet dan teknologi maklumat yang berkembang
dengan begitu pesat sekali.

2.0 Matlamat dan Objektif Pendidikan Akidah

2.1 Mengakui keesaan Allah swt

Matlamat utama pendidikan akidah Islam ialah mendidik manusia supaya
mengakui keesaan dan ketunggalan Allah swt sebagai tuhan yang wajib
disembah. Tiada sekutu bagiNya. Ini dijelakan oleh Allah swt dalam firmanNya
yang bermaksud :


"Katakanlah (wahai Muhammad) Dia ialah Allah Yang Maha Esa. Allah menjadi
tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak dan
tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa yang setara denganNya"
(al-Ikhlas : 1-4)

Ayat di atas mendidik manusia supaya mengaku keesaan dan kekuasaan Allah
swt. Ayat ini diturunkan di Makkah di awal perkembangan Islam. Oleh kerana
akidah merupakan asas kepada kekuatan dan pembinaan Islam sebagai al-Din
maka wahyu-wahyu yang terawal yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw
menjurus kepada pendidikan Akidah bagi menanam keyakinan yang teguh dalam
jiwa manusiatentang keesaan Allah swt.

2.2 Melahirkan manusia yang patuh dan tunduk kepada Allah swt .Pendidikan
akidah juga penting untuk mendidik manusia supaya patuh dan tunduk kepada
kebesaran dan keagongan Allah swt.

2.3 Membentuk keperibadian insan

Sebagaimana acuan dapat membentuk dan mencorakkan air kandungannya maka
demikianlah akidah dapat membentuk dan mendidik orang yang mengambilnya
menepati dengan hakikat dan tabiat kemanusiaan yang tulen dan asli seperti
yang dikehendaki oleh penciptanya. Pendidikan akidah dapat membentuk
sifat-sifat nalurinya, akal fikirannya, iradahnya dan perasaannya.
Ringkasnya pendidikan akidah bermatlamat untuk membentuk nilai akhlak dan
keperibadian seseorang insan yang akan mencorakkan suluk amali atau gerak
laku amal perbuatan selaras dengan peranan dan tanggungjawab manusia sebagai
khalifah Allah swt di muka bumi ini. Menurut Mohd Sulaiman Yasin (1987),
Akidah Islam ialah akidah yang bersumberkan ketuhanan (akidah Rabbaniyyah)
yang tetap, syumul, menyeluruh dan fitrah. Tabiat akidah yang demikian ialah
akidah yang kukuh dan teguh. Hanya akidah yang teguh sahaja dapat membentuk
manusia yang teguh dan kukuh. Kekukuhan dan keteguhan akidah ialah kerana
kekukuhan dan keteguhan ciri-ciri yang menjadi kandungan akidah itu, yang
merangkumi segala hakikat iaitu hakikat ketuhanan, hakikat alma semesta dan
hakikat kemanusiaan serta nilai-nilai kebenaran, kebaikan dan keindahan.
Kekukuhan akidah inilah yang akhirnya menjadi sumber kekuatan Islam. Itulah
hakikat kekuatan umat Islam, kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya yang
menjadi asas kepada kekuatan jasmaninya. Di dalam sejarah kegemilangan umat
Islam yang silam kita mendapati bahawa umat Islam di masa itu telah dibentuk
dan dididik oleh akidah yang akhirnya melahirkan kekuatan yang sungguh
kental dan luar biasa. Kita lihat sahaja kepada Bilal, bahawa akidah telah
memberikan kekuatan kepadanya. Abdul Rahman bin Auf dan Osman bin Affan
sanggup membelanjakan hartanya kerana mempertahankan Islam sehingga tiada
apa lagi yang dimiliki melainkan Allah swt dan Rasul. Ali bin Abi Talib
sanggup mempertaruhkan nyawanya kerana Rasulullah saw dan banyak lagi
contoh-contoh yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah saw hasil dari
pendidikan akidah yang mantap.

2.0 Definisi Akidah

Perkataan akidah berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu "aqada yang
bererti ikatan atau simpulan. Perkataan ini juga digunakan pada sesuatu yang
maknawi seperti akad nikah dan akad jual beli. Dari ikatan atau simpulan
yang maknawi ini maka lahirlah akidah iaitu ikatan atau simpulan khusus
dalam kepercayaan. Sementara dari segi istilah, akidah bermaksud kepercayaan
yang terikat erat dan tersimpul kuat dalam jiwa seseorang sehingga tidak
mungkin tercerai atau terurai. Akidah menurut istilah syara" pula bermaksud
kepercayaan atau keimanan kepada hakikat-hakikat atau nilai-nilai yang
mutlak, yang tetap dan kekal, yang pasti dan hakiki, yang kudus dan suci
seperti yang diwajibkan oleh syara" iaitu beriman kepada Allah swt,
rukun-rukun Iman, rukun-rukun Islam dan perkara-perkara ghaibiyyat.

3.2 Hakikat Iman

Dalam menjelaskan definisi akidah ada disebut perkataan kepercayaan atau
keimanan. Ini disebabkan Iman merupakan unsur utama kepada akidah. Iman
ialah perkataan Arab yang bererti percaya yang merangkumi ikrar (pengakuan)
dengan lidah, membenarkan dengan hati dan mempraktikkan dengan perbuatan.
Ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud : "Iman itu ialah
mengaku dengan lidah, membenarkan di dalam hati dan beramal dengan anggota".
(al-Hadis)

Walaupun iman itu merupakan peranan hati yang tidak diketahui oleh orang
lain selain dari dirinya sendiri dan Allah swt namun dapat diketahui oleh
orang melalui bukti-bukti amalan. Iman tidak pernah berkompromi atau
bersekongkol dengan kejahatan dan maksiat. Sebaliknya iman yang mantap di
dada merupakan pendorong ke arah kerja-kerja yang sesuai dan secucuk dengan
kehendak dan tuntutan iman itu sendiri.

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang mukmin yang beriman kepada Allah swt dan RasulNya
kemudian mereka tidak ragu-ragu".
(al-Hujurat : 15)

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah swt
maka terasa gerunlah hati mereka dan apabila dibaca kepada mereka ayat-ayat
Allah swt, bertambahlah iman mereka dan kepada tuhan sahaja mereka
bertawakkal. Mereka mendirikan solat, membelanjakan daripada apa yang kami
beri rezki kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang beriman dengan
sebenar-benarnya".
(al-Anfal : 2-4)

Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam juga dikenali
sebagai rukun-rukun Iman iaitu sebanyak enam perkara :

a.. Pertama : Beriman kepada Allah swt.
b.. Kedua : Beriman kepada Malaikat.
c.. Ketiga : Beriman kepada kitab-kitab.
d.. Keempat : Beriman kepada Rasul-Rasul.
e.. Kelima : Beriman kepada Hari Kiamat.
f.. Keenam : Beriman kepada Qada" dan Qadar.


Hal ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya yang bermaksud :

"Iman itu bahawa kamu mempercayai kepada Allah swt, malaikatNya,
kitab-kitabNya, para RasulNya, hari kumudian dan kamu beriman kepada takdir
baik dan buruknya".
(Riwayat Muslim)


3.3 Hubungan Iman dan Islam
Iman dengan makna tasdiq juga dinamakan akidah di mana rahsianya tidak
diketahui sesiapa melainkan orang berkenaan dan Allah swt. Namun demikian
manusia mempunyai sifat-sifat lahiriah yang dapat dilihat melalui tingkah
laku manusia sama ada melalui percakapan atau perbuatan. Inilah yang menjadi
ukuran keimanan seseorang. Adapun segala yang tersirat di dalam hatinya
terserah kepada Allah swt. Iman yang melahirkan penyerahan diri kepada Allah
itu juga disebut sebagai Islam. Ini bermaksud seseorang yang beriman
hendaklah menyerah diri kepada Allah swt dengan menerima segala hukum dan
syariat yang diturunkan Ilahi. Penyerahan dan penerimaan ini berlaku dengan
dua perkara iaitu

(i) dengan kepercayaan dan pegangan hati yang dinamakan Iman (akidah) dan

(ii) melalui sifat-sifat lahiriah iaitu melalui perkataan dan perbuatan
(amalan) dinamakan Islam. Nabi Muhammad saw telah juga menunjukkan
penggunaan kalimah Iman dalam pengertian amal sebagaimana sabdanya yang
bermaksud : "Iman terbahagi lebih enam puluh bahagian, yang paling tinggi
ialah mengucap kalimah "Lailahaillallah" dan yang paling rendah ialah
membunag benda-benda yang boleh menyakitkan orang di jalan".
(Riwayat Muslim)

Oleh yang demikian jelas di sini Iman dan Islam mempunyai hubungan yang
rapat dan tidak mungkin dipisahkan. Islam umpama pohon sementara Iman umpama
akar sesepohon kayu. Kesuburan dan kekuatan akar pokok tersebut dapat
dilihat dengan kesuburan pokok pada daun, ranting dan dahannya. Dalam
menjelaskan tentang hubungan Iman dan Islam ini kita petik sebuah hadis
sabda Nabi saw kepada rombongan Abdul Qias yang bermaksud:
"Aku menyuruh kamu beriman kepada Allah swt yang Maha Esa. Apakah kamu
mengerti apa dia yang dikatakan beriman kepada Allah swt yang Maha Esa ".
Iaitu penyaksian bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah swt yang
Maha Esa, tiada sekutu baginya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat
dan menunaikan satu perlima daripada harta rampasan perang".
(Muttafaqun "alaih)

Hadis di atas menjelaskan betapa adanya hubungan yang erat di antara iman
dan Islam di mana Islam itu menjadi salah satu daripada perinsip Iman dan
Iman pula dilahirkan melalui Islam secara amali, dengan iqrar syahadah dan
melaksanakan hukum syariat dalam segala amalan. Sekiranya berlaku iqrar
syahadah dan menunaikan fardhu sedangkan hatinya tidak yakin atau tidak
percaya serta ragu-ragu terhadap hukum hakam Allah swt maka seseorang itu
dihukum tidak beriman walaupun masih dinamakan Islam sebagaimana yang
berlaku kepada sesetengah orang-orang Badwi di zaman Rasulullah saw.

Firman Allah swt yang bermaksud


"Orang Arab berkata : Kami telah beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) : Kamu
belum beriman (janganlah berkata demikian, tetapi sementara Iman belum lagi
meresap masuk ke dalam hati kamu) berkatalah sahaja : Kami telah Islam".
(al-Hujurat : 14)

Kesimpulannya Iman itu melambangkan sesuatu yang batin sementara Islam
melambangkan sesuatu yang zahir. Oleh itu iman dan Islam tidak boleh
dipisahkan. Islam umpama pokok sementara Iman umpama akar. Ibadat solat
merupakan batang kepada pokok itu sementara beriman kepada Allah swt
merupakan akar tunjangnya di mana ia menjadi teras keimanan seseorang.
Pemisahan Iman dan Islam samalah kita memisahkan pokok dari akarnya.

3.4 Konsep Ihsan dan Hubungannya dengan Iman dan Islam

Ihsan bermaksud bekerja dengan baik dan tekun. Dari segi syara" bermaksud
mengelokkan perbuatan zahir dengan ibadat dan mengelokkan perbuatan batin
dengan ikhlas. Menurut kamus bahasa, Ihsan bermaksud membuat sesuatu yang
baik. Al-quran menerangkan dengan meluas ciri-ciri Ihsan dan mereka yang
bersifat muhsinin (berbuat kebaikan).

Antaranya firman Allah swt yang bermaksud :

"Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedah kebaikan yang kamu lakukan ialah
untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan maka (kesannya yang buruk)
berbalik kepada diri kamu juga".
(al-Isra" : 7)

Kedudukan Ihsan adalah tinggi di sisi Islam dalam konteks melengkapkan
ciri-ciri keimanan dan keislaman individu dan masyarakat Islam seluruhnya.
Al-Quran menerangkan bahawa Ihsan wajib menjadi tabiat manusia. Allah swt
telah memberi ni"mat kepada manusia dengan IhsanNya, maka manusia perlu
Ihsan dengan ni"mat ini kepada makhluk.

Firman allah swt yang bermaksud :

"Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah swt) sebagaimana Allah swt
berbuat baik kepadamu (dengan pemberian ni"matNya yang melimpah-limpah".
(al-Qasas : 77)

Seseorang yang melakukan Ihsan akan merasa tenang yang tidak dapat dirasakan
oleh orang lain dan orang yang menerima Ihsan itu sendiri merasa senang.
Kasih sayang kepada pelaku Ihsan akan memberi kebahagiaan jiwa. Mereka yang
membuat keburukan tidak akan mendapat ketenangan hidup. Oleh itu Allah swt
telah memberi galakan supaya berbuat Ihsan sebagaimana firmanNya yang
bermaksud :
"Sesungguhnya Allah swt menyuruh kamu berlaku adil, dan berbuat ihsan
(kebaikan), serta memberi bantuan kepada kaum karabat dan melarang daripada
melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar serta zalim".
(al-Nahl : 90)

Al-Quran mengangkat martabat Ihsan dengan begitu tinggi lebih-lebih lagi
jika turut disertakan dengan ikhlas kepada Allah swt dan kedua-dua ini
dianggap sebagai sifat yang paling tinggi dan mulia yang patut ada pada diri
setiap muslim. Kesimpulannya kalau Iman itu umpama akar, Islam umpama pokok
maka Ihsan pula umpama buah yang baik. Demikianlah hubungan di antara Iman,
Islam dan Ihsan.

3.5 Peringkat-peringkat Iman

Iman itu boleh bertambah dan berkurang. Malah Iman seseorang boleh
dihinggapi penyakit. Ada Iman sentiasa bertambah iaitu Iman para Nabi dan
Rasul. Ada Iman yang tidak bertambah atau berkurang iaitu Iman para
Malaikat. Ada Iman yang kadang-kadang bertambah dan ada ketikanya menurun
iaitu Iman kebanyakan orang mukmin. Terdapat juga jenis Iman yang
jarang-jarang bertambah tetapi banyak menurun iaitu Iman orang-orang yang
fasik lagi jahat.

Iman terbahagi kepada lima peringkat:

a.. Iman Taqlid iaitu Iman ikutan. Orang yang beriman secara taqlid
beramal semata-mata mengikut orang lain. Iman jenis ini merbahaya dan
terdedah kepada kesesatan.
b.. Iman Ilmu iaitu Iman yang berdasarkan semata-mata kepada ilmu dan
fikiran semata-mata dan ia tidak terpahat di dalam hati. Iman pada tahap ini
juga terdedah kepada bahaya dan penyelewengan.
c.. Iman A'yan iaitu Iman yang dapat dihayati sehingga ke lubuk hati. Iman
pada tahap ini dimiliki oleh orang-orang soleh. Seseorang yang beriman pada
tahap ini amalannya bertolak dari hati yang ikhlas untuk mencari keredhaan
Allah swt. Iman kita juga sekurang-kurangnya berada pada tahap ini.
d.. Iman Hak iaitu Iman yang hakiki yang terlepas dari godaan nafsu dan
syaitan. Iman pada tahap ini dimiliki oleh golongan muqarrabin. Iman Hakikat
iaitu Iman peringkat yang paling tinggi yang boleh dicapai oleh manusia.
Mereka yang memiliki Iman pada tahap ini hidup semata-mata untuk Allah swt.
3.6 Rukun Iman

Perkara yang menjadi asas atau pokok keimanan dalam Islam dikenali sebagai
rukun-rukun Iman ialah enam perkara sebagaimana firman Allah swt yang
bermaksud:

"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari
Tuhannya, dan juga orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah swt,
Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya".
(al-Baqarah : 285)

Sabda Nabi saw yang bermaksud: "Iman itu ialah kamu beriman kepada Allah
swt, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat,
Qadar baik dan buruk".
(Riwayat Muslim)

3.6.1 Beriman kepada Allah swt
Beriman kepada Allah swt bermaksud mengetahui, percaya dan beri"tikad dengan
teguh, perkara-perkara yang wajib, mustahi dan harus bagi Allah swt.
Seseorang itu hendaklah beri"tikad secara ijmal dan sungguh-gungguh bahawa
Allah swt bersifat dengan sifat-sifat yang sumpurna dan sesuai dengan
ketuhananNya. Mustahil Allah swt bersifat dengan sifat-sifat kekurangan dan
harus bagi Allah swt melakukan semua perkara atau meninggalkannya.

Iman dan tauhid kepada Allah swt tegak di atas dua asas iaitu

Tauhid Rububiyyah

Tauhid Rububiyyah bermaksud mengimani dan yakin bahawa Allah swt sahaja
Tuhan yang mencipta alam ini. Mentauhidkan Allah swt sebagai pencipta,
pengurus, pentadbir, pengatur, pemerintah, pendidik, pemelihara dan pengasuh
sekelian alam. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang tauhid
Uluhiyah ini. Antaranya firman Allah yang bermaksud:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللّهَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ بِالْحقِّ إِن
يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَأْتِ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ


"Tidakkah engkau perhatikan bahawa Allah swt menciptakan langit dan bumi
dengan sebenarnya". Jika ia mengkehendaki, kamu dimusnahkanNya dan
digantiNya dengan makhluk yang baru".
(Ibrahim 14 : 19)

Firman Allah swt lagi yang bermaksud:

خَلَقَ السَّمَاوَاتِ بِغَيْرِ عَمَدٍ تَرَوْنَهَا وَأَلْقَى فِي
الْأَرْضِ رَوَاسِيَ أَن تَمِيدَ بِكُمْ وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَابَّةٍ
وَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَنبَتْنَا فِيهَا مِن كُلِّ زَوْجٍ
كَرِيمٍ


"Dia menciptakan beberapa langit tanpa tiang yang kamu lihat, dan Dia
mengadakan gunung-ganang di muka bumi supaya jangan ia bergoyang-goyang
bersama kamu dan Dia menyebarkan di muka bumi bermacam-macam haiwan. Kami
turunkan air hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan di muka bumi
bermacam-macam tumbuhan yang baik".
(Luqman 31:10)

Dalam beberapa ayat yang lain Allah swt menyebut bahawa orang-orang kafir
juga percaya kepada Rububiyah Allah swt dengan mengaku bahawa Allah swt
adalah pencipta langit dan bumi. Firman Allah swt yang bermaksud:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى
يُؤْفَكُونَ


"Dan jika kamu bertanya kepada mereka (orang-orang kafir yang menyembah
berhala itu) siapa yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: Allah
swt! maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan".
(al-Zukhruf : 87)

Maksud firman Allah swt lagi:

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَحْيَا بِهِ
الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ
بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ


"Dan jika kamu menanyakan kepada mereka : Siapakah yang menurunkan air dari
langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya". Tentulah
mereka akan menjawab : Allah swt".
(al-Ankabut : 63)

Tauhid Uluhiyyah

Beriman kepada Uluhiyyah Allah swt bermaksud yakin bahawa Allah swt sahaja
Tuhan yang patut disembah, dipohon segala doa, dipatuhi, dicintai, ditakuti,
dan tawakkal kepadaNya. Seterusnya mnerima segala hukumNya dengan yakin dan
redha. Ringkasnya Tauhid Uluhiyyah ini menuntut seseorang meyakini
kemutlakan kekuasaan Allah swt yang menjadi tempat tumpuan segala makhluk
sama ada dari segi sembahan atau memohon segala doa dan hajat. Keyakinan ini
menetapkan bahawa hanya Allah swt sahaja yang berkah menentukan hukum dan
peraturan bagi seluruh makhluk di alam ini. Di antara ayat al-Quran yang
membicarakan tentang Uluhiyyah Allah swt adalah seperti berikut. Firman
Allah swt yang bermaksud:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

"Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami
memohon pertolongan"
(al-Fatihah : 5)


Firman Allah lagi yang bermaksud:


"Katakanlah (wahai Muhammad) Dialah Allah swt yang Maha Esa. Allah swt
tempat meminta (tumpuan). Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan
tidak ada sesuatupun yang meneyrupaiNya".
(al-Ikhlas : 1-4)


Firman Allah swt lagi yang bermaksud:
"Engkaulah yang memasukkan malam ke dalam siang dan siang ke dalam malam.
Engkau juga mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang
mati dari yang hidup. Engkau jugalah yang memberi rezki kepada sesiapa yang
dikehendaki dengan tiada hitungan hisab".
(Al-Imran : 27)

تُولِجُ اللَّيْلَ فِي الْنَّهَارِ وَتُولِجُ النَّهَارَ فِي اللَّيْلِ
وَتُخْرِجُ الْحَيَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَتُخْرِجُ الَمَيَّتَ مِنَ الْحَيِّ
وَتَرْزُقُ مَن تَشَاء بِغَيْرِ حِسَابٍ


Sesungguhnya kebanyakan manusia sejak dahulu hingga kini mengakui Tauhid
Rububiyyah Allah swt dengan mengakui bahawa Allah swt menciptakan langit dan
bumi serta sekelian alam ini. Tetapi mereka ingkar secara perkataan dan
perbuatan terhadap Uluhiyyah Allah swt seperti beribadat kepada yang lain
dari Allah swt serta tidak melaksanakan syariat dan hukum Allah swt dalam
kehidupan ini. Keselarasan di antara Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah
adalah penting untuk memastikan keimanan yang sejati terhadap Allah swt. Ini
adalah kerana Tauhid Rububiyyah adalah adalah merupakan pengakuan bahawa
Allah swt adalah sumber cipta. Sementara Tauhid Uluhiyyah ialah suatu
pengakuan bahawa Allah swt adalah Tuhan yang wajib disembah dan tempat
tumpuan sekelian makhluk.

3.6.2 Beriman kepada Malaikat

Beriman kepada malaikat bermaksud percaya dan yakin tentang wujudnya makhluk
yang digelar malaikat. Jumlah malaikat hanya Allah swt sahaja yang
mengetahui. Di antara ciri-ciri malaikat yang disebut di dalam al-Quran dan
al-Hadis antaranya ialah:

a.. Malaikat merupakan makhluk yang taat kepada Allah swt.
b.. Diciptakan dari nur.
c.. Tidak mempunyai hawa nafsu.
d.. Tidak makan dan minum
e.. Memiliki akal yang terbatas untuk melaksanakan perintah Allah swt.
f.. Tiada jantina tertentu (tidak lelaki, tidak perempuan, bukan khunsa).
g.. Malakikat mempunyai sayap.
h.. Memiliki kekuatan dan kepantasan yang luar biasa.
Malaikat merupakan makluk yang tidak dapat dikesani dengan penyelidikan dan
pemikiran tentang kewujudannya. Kita tidak boleh menafikan adanya malaikat
semata-mata kerana ia tidak dapat dilihat atau dikaji oleh akal manusia.
Beriman kepada malaikat adalah termasuk di dalam beriman kepada
perkara-perkara ghaib kerana ia tidak dapat disaksikan oleh pancaindera.
Hakikatnya amat sukar difahami oleh akal fikiran manusia. Perkhabaran
tentang malaikat dan perkara-perkara ghaibini diketahui melalui al-Quran dan
al-Hadis. Yakin dan beriman kepada perkara-perkara ghaib seperti syurga,
neraka, roh merupakan salah satu daripada ciri-ciri orang bertaqwa kepada
Allah swt. Di antara dalil berkenaan dengan malaikat adalah seperti berikut:

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Dan tidaklah ada yang mengetahui siapa tentera Tuhan itu melaikan Dia".
(al-Mudasir : 31)

وَمَا جَعَلْنَا أَصْحَابَ النَّارِ إِلَّا مَلَائِكَةً وَمَا جَعَلْنَا
عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا لِيَسْتَيْقِنَ الَّذِينَ
أُوتُوا الْكِتَابَ وَيَزْدَادَ الَّذِينَ آمَنُوا إِيمَانًا وَلَا يَرْتَابَ
الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَالْمُؤْمِنُونَ وَلِيَقُولَ الَّذِينَ فِي
قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَالْكَافِرُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلًا
كَذَلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاء وَيَهْدِي مَن يَشَاء وَمَا يَعْلَمُ
جُنُودَ رَبِّكَ إِلَّا هُوَ وَمَا هِيَ إِلَّا ذِكْرَى لِلْبَشَرِ


Firman Allah swt lagi yang bermaksud:

"Dan mereka mengerjakan apa yang diperintahkan".
(al-Nahlu : 50)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Dijadikan malaikat daripada cahaya dan dijadikan jin daripada percikan
api".

(Riwayat Muslim)

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Miraj yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat
pemerintahanNya (menerima dan menyempurkan tugas) pada satu hari tempohnya
lima puluh ribu tahun".
(al-Ma"rij : 4)

Firman Allah swt yang bermaksud:

"Segala puji bagi Allah swt yang menciptakan langit dan bumi, yang
menjadikan maalaikat utusan-utusan yang brsayap dua, tiga dan empat".
(al-Fath : 1)

Dalam perkembangan kepercayaan manusia terhadap perkara ghaib sejak zaman
purbakala telah ada kepercayaan kepada dewa-dewa. Orang Greek di zaman purba
mempercayai adanya dewa-dewa. Demikian juga orang Tionghoa dan Mesir.
Kadang-kadang kepercayaan kepada dewa-dewa ini dihubungkaitkan dengan
bintang-bintang. Contohnya orang Greek (Yunani) mempercayai bintang Mars
adalah dewa peperangan. Demikian juga ada yang mempercayai bahawa malaikat
itu adalah anak perempuan Tuhan.

Setelah fahaman "ketauhidan" menjadi jelas di dalam Islam, maka tegaklah
kepercayaan bahawa persembahan dan pemujaan hanyalah kepada Allah
semata-mata. Malaikat-malaikat bukanlah Tuhan dan tiada kuasa. Ia tidak
dapat memakbulkan permohonan makhluk. Kita tidak perlu takut kepada malaikat
kerana ia tidak dapat berbuat apa-apa melainkan dengan izin Allah swt.
Demikianlah halusnya pokok kepercayaan dalam Islam sehingga memuja malaikat
adalah termasuk dalam perbuatan syirik yang membatalkan akidah seseorang.

Menurut athar Said bin al-Musayyib bahawa malaikat itu bukan lelaki dan
bukan perempuan, mereka tidak makan atau minum dan tidak tidur. Bilangan
malaikat amatlah ramai. Tidak diketahui jumlahnya melainkan Allah swt.
Setiap orang wajib beriman kepada malaikat secara ijmal kecuaili sepuluh
malaikat sahaja diwajibkan kita beriman secara tafsil sebagaimana berikut:

Jibril

Malaikat pertama yang dianggap sebagai penghulu sekelian malaikat. Dia juga
bernama Namus, Ruh al-Amin (roh yang diberi keperrcayaan) dan Ruh al-Qudus
(roh yang suci). Tugasnya yang utama ialah menerima perintah Allah swt untuk
disampaikan kepada para Nabi dan Rasul. Oleh kerana ruh Nabi-Nabi dan
Rasul-Rasul itu telah mendapat latihan yang cukup dan istimewa sehingga
memudahkan hubungannya dengan alam ghaib. Maka dapatlah mereka melihat dan
berhubung nyata dengan Malaikat Jibril itu. Nabi Muhammad saw pertama kali
berjumpa dengan Jibril ialah semasa menerima wahyu pertama di gua Hira" di
atas bukit Nur. Datang berupa seorang lelaki berpakaian serba putih.
Demikian juga semasa Isra dan Mi"raj Nabi saw ditemani oleh Jibril
alaihissalam.

Jibril pernah merupakan dirinya sebagai seorang sahabat Nabi saw yang muda
dan pantas sikapnya iaitu Dahiyah al-Kalbi. Menurut hadis Bukhari dan Muslim
yang diriwayatkan oleh Saidina Omar al-Khatab menyatakan bahawa Jibril
merupa seorang lelaki datang ke majlis Rasulullah saw mengemukakan
pertanyaan berkaitan dengan Iman, Islam dan Ihsan. Semua sahabat Rasulullah
saw yang hadir melihatnya.

Di waktu Rasulullah saw menghembuskan nafasnya yang penghabisan Jibril turut
hadir di sisi Baginda saw. Sebab Rasulullah saw berkata "Jibril ! Jibril !
Dekatlah kepadaku". (Hamka, 1988).

Kitab-kitab suci dan suuf yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul
iaitu Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran diturunkan melalui perantaraan
Jibril as.

Mikail

Malaikat Mikail tugasnya mengurus hal ehwal penghidupan. Mengatur rezki,
hujan dan sebagainya. Mengatus perjalanan matahari, bumi, bulan dan
cakrawala ini. Peredaran matahari dan bintang menyebabkan berlakunya siang
dan malam. Ia menjaga perjalanan alam ini sehingga segala sesuatu itu
berjalan dengan lancar di dalam peraturan yang ditentukan. Yang berat turun
ke bawah, yang ringan terapung ke atas dan tenaga tarik menarik yang ada
semuanya dalam lingkungan tugas Mikail.

Izrail

Izrail terkenal denganpanggilan "Malaikat Maut". Bertugas mencabut nyawa
segala makhluk yang bernyawa di alam ini apabila tiba masanya. Izrail tidak
akan datang kalau kita belum "dipanggil". Walaupun di kiri kanan kita
bergelimpangan mayat-mayat, kita tidak akan mati kalau belum tiba giliran.
Dan kalau tiba giliran ke mana kita menyembunyikan diri Izrail tetap
menunggu kita. Walaupun kita berada dalam perti besai yang kukuh sekalipun.

Kita tidak tahu bila Izrail akan datang kepada kita. Kita juga tidak boleh
cemas kerana dia pasti datang. Kecemasan boleh dihilangkan dengan memenuhi
hidup kita melakukan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran.

Tugasnya meniup sangkakala (Shur). Tiupan pertama memusnahkan seluruh alam
ini melainkan perkara-perkara yang tidak diizinkan Allah swt musnah.

Kesan Akidah Islam

Akidah Islam akan melahirkan seseorang atau masyarakat yang mempunyai
kepribadian yang unggul yang akhirnya akan dijelmakan melalui tingkah-laku,
percakapan dan gerak-geri hati seseorang atau sesebuah masyarakat. Akidah
Islam yang telah meresap ke dalam jiwa dan lubuk hati sesseorang akan
menimbulkan kesan-kesan positif di antaranya dapat kita gariskan seperti
berikut:

3.7.1 Akidah Islam melahirkan seorang yang yakin kepada Allah swt yang maha
esa. Lantaran itu menggerakkan seluruh tingkah-lakunya, percakapannya dan
gerak-gerinya untuk mencari keredhaan Allh swt.

3.7.2 Akidah Islam melahirkan Insan Soleh. Insan yang melakukan apa yang
diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala jenayah dan kemungkaran.

509 3.7.3 Akidah Islam melahirkan Insan yang mempunyai akhlak cemerlang dan
terpuji.

Mengikis sifat-sifat yang buruk dan melahirkan manusia yang bertaqwa,
tawadhu", ikhlas, redha, amanah dengan segala sifat terpuji yang lain di
samping menyingkirkan sifat-sifat yang buruk seperti dengki, sombong, ria",
takabur dan seumpamanya yang boleh membawa masalah sosiol dalam masyarakat.

3.7.4 Akidah akan melahirkan seseorang atau sesebuah masyarakat yang optimis
dan yakin kepada diri sendiri untuk bekerja bagi mencapai kejayaan di dunia
di samping tidak lupa mencari keredhaan Allah swt supaya mendapat kebahagian
di akhirat.

3.7.5 Akidah Islam melahirkan Insan dan masyarakat yang teguh pendiriannya,
mempunyai perinsip dan tidak mudah terpengaruh dengan persekitaran yang
mengancam nilai dan akhlak manusia terutama dengan pelbagai pengarauh hasil
kemajuan teknologi maklumat di zaman ini. Ia mampu membeza dan memilih
nilai-nilai yang positif dan menolak nilai-nilai yang negatif yang boleh
merosakkan keperibadian Insan dan masyarakat.

3.7.6 Akidah Islam yang teguh mampu membawa manusia dan masyarakat maju ke
hadapan dalam segala bidang. Sejarah membuktikan masyarakat Arab telah
berubah daripada satu masyarakat yang tidak dikenali kepada sebuah
masyarakat yang digeruni. Akidah Islam telah mengangkat darjah mereka.
Mereka menguasai hampir separuh dari bumi ini. Mereka menguasai pentadbiran
dan maju dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.

3.7.7 Akidah Islam membentuk manusia berlumba-lumba untuk melakukan
kebajikan dan mencegah dari kemungkaran. Ini akan melahirkan masyarakat yang
harmoni dan aman tenteram. Tiada jenayah atau pencerobohan ke atas sesiapa
disebabkan mereka yakin kepada hari pembalasan.

3.7.8 Akidah Islam akan melahirkan manusia yang tidak mudah putus asa atau
hilang harapan. Iman di dalam hati akan memberi ketenangan yang luar biasa.

3.7.9 Akidah Islam akhirnya melahirkan manusia yang sanggup berjihad ke
jalan Allah swt walaupun harta dan nyawa menjadi taruhan. Bilal bin Rabah
sanggup mati kerana mempertahankan akidahnya. Kelaurga Amar bin Yasir
demikian juga. Demikianlah para sahabat sanggup mengorbankan harta dan nyawa
untuk mempertahan dan menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Ini adalah kesan
dari Akidah Islam yang meressap di dalam jiwa dan lubuk hati mereka.

Akidah Islam yang ada dalam hati umat Islam kini mungkin tidak begitu mantap
menyebabkan mereka tidak dapat mencapai kegemilangan sebagaimana umat Islam
di zaman Nabi saw dan para Sahabat. Umat Islam pada hari ini begitu rapuh
akidahnya. Lantaran itu mereka amat mudah terpengaruh dengan berbagai-bagai
unsur negatif. Kemunduran umat Islam kini kerana mereka semakin jauh dari
menghayati Akidah Islam yang sebenar.

0 komentar:

Khat Arabi

الخط والكتابة العربية الخط والكتابة العربية ميم همزة
Publish at Scribd or explore others: Books grammar Religion-Islam

Sukatan Baru

Asas-Asas Penyelidikan Pendidikan

Belajar Khat

تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي mahmoud تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي
Publish at Scribd or explore others: Study Guides, Notes, School Work تعليم خط الصف الأول

Doa Mengelak Wabak

Doa Mengelak Wabak

Mutiara Kata