Oleh Zainudin Hashim
Sejak akhir-akhir ini, para ulama' sering menekankan keprihatinan dan
kepekaan mereka mengenai telatah serta gelagat umat Islam, khususnya yang
melibatkan gaya hidup masyarakat umat Islam yang semakin tersasar daripada
landasan Islam sebenar.
Ia dapat disingkap dalam aspek hiburan dan sukan yang keterlaluan yang
disuburkan oleh pihak tertentu yang bertopengkan Islam, sedangkan realiti
hidup mereka (pihak penganjur sesuatu program hiburan atau sukan tertentu)
tidak mencerminkan minat mendalam kepada gaya hidup Islam.
Benarlah kenyataan ayat 7-9 daripada surah as-Syams (91), Allah berfirman
yang bermaksud : 7. Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya
(dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); 8. serta mengilhamkannya
(untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya
kepada bertaqwa; - 9. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan
dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal
kebajikan).
Kecenderungan jiwa atau hati manusia kepada perkara jahat merupakan naluri
dan lumrah biasa, sebab itu al-Quran mendedahkan bahawa penghuni Neraka
lebih ramai daripada penghuni Syurga.
Kejahatan manusia menjangkau apa yang tidak dapat dicapai oleh pemikiran,
kerana penentangan bukan sekadar menolak kerasulan baginda Nabi Muhammad
s.a.w, menolak al-Quran, terlibat dalam rasuah, judi, meninggalkan solat,
tidak berpuasa, merosakkan alam sekitar dan yang lebih parah lagi ialah
menentang Allah dengan menghina hukum-hukum-Nya.
Sebab Penentangan Manusia terhadap Allah
Justeru, mari kita menyingkap pandangan ulama' berhubung faktor yang
menyebabkan penentangan manusia terhadap Allah SWT selaku Pencipta mereka.
1- Alpa terhadap matlamat sebenar penciptaan manusia di muka bumi ini.
2- Iman yang amat lemah terhadap rukun-rukun iman yang enam.
3- Jahil mengenai Allah, suruhan dan larangan-Nya, pahala dan dosa serta
Syurga dan Neraka.
4- Tidak waspada terhadap bisikan syaitan yang sentiasa mengajak untuk
melakukan kejahatan.
5- Tertipu dengan habuan dunia hingga tidak mahu memohon ampun dan bertaubat
kepada Allah.
6- Berputus asa dari rahmat Allah (kasih sayang-Nya).
7- Tidak mempercayai qada' dan qadar Allah malah mempertikainya.
8- Berbangga dengan maksiat dan tidak memperakui dosa besar yang
dilakukannya.
9- Panjang cita-cita (banyak berangan-angan dalam perkara dunia).
10- Berlebihan cinta kepada dunia hingga tidak menjalankan tugas utama
sebagai manusia bernama Islam.
11- Tersungkur dengan mengikut hawa nafsu yang rosak.
12- Terlibat dalam perkara-perkara syubhat yang menjurus kepada kemurkaan
Allah SWT.
13- Ego dan sombong diri terhadap Allah, Rasul dan manusia seluruhnya.
14- Suka bergaul (bercampur) dengan ahli maksiat dan menolak untuk bersama
golongan yang soleh.
15- Suka melakukan fitnah dalam masyarakat hingga memporak-perandakan
hubungan sesama mereka.
16- Merosakkan gambaran Islam dengan penggunaan istilah yang menyalahi
konsep sebenar seperti melabelkan orang Islam yang berjanggut dengan
pengganas dan lain-lain.
17- Bergelumang dengan ada-adat yang menyalahi hukum Syariat Islam.
18- Meninggalkan tugas utama Amar Ma'ruf dan Nahi Munkar.
Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik?
Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha
meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri
kepada Allah SWT.
Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di
sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah
perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh
rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.
Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang
amat digalakkan, agar setiap muslim/muslimah mencapai status hamba Allah
yang diterima di sisi-Nya, antara kaedah berkenaan yang perlu diberi
perhatian adalah seperti berikut :
· Melakukan solat lima waktu dengan baik (sama ada dari sudut pada awal
waktu pelaksanaannya, kaifiat serta tata-cara bagi menjamin penerimaannya).
· Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh
membawa kepada kekufuran, kerana ia adalah tiang agama dan perkara pertama
yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.
· Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah,
memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca
al-Quran dengan memahami isi kandungannya.
· Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah
para sahabat Nabi, bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur
wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.
· Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat
hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara
kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah dan
sebagainya.
· Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan
banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran
dengan tetap dan cekal terhadapnya.
Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar
boleh mati pada jalan yang diredai-Nya. Amin
0 komentar:
Catat Ulasan