SEMPORNA: Acara tahunan Regatta Lepa telah membuktikan berjaya mengukuhkan semangat kekitaan, setiakawan, perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini menerusi toleransi dan menghormati budaya masing-masing, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
"Perayaan Regatta Lepa bukan sahaja menjadi platform untuk kita mengenengahkan kebudayaan tradisi masyarakat Bajau Semporna yang unik. Ia juga pemangkin pengukuhan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini," katanya pada majlis pelancaran Pesta Regatta Lepa ke-6 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah kelmarin.
Musa berkata Sabah bukan sahaja dianugerahkan kekayaan hidupan marin, flora dan fauna serta keunikan alam semulajadi yang bertaraf dunia, tetapi juga kepelbagaian budaya dan warisan dengan keharmonian dan perpaduan lebih 32 etnik menjadikan negeri di bawah bayu ini bumi yang bertuah.
Rakyat, katanya perlu menunjukkan kepada dunia bahawa dalam mengejar kemajuan, adat dan budaya tetap dipertahankan.
"Dalam kita rancak membangunkan prasarana pelancongan, kita tetap komited mengekalkan keindahan alam semulajadi dan memelihara kekayaan khazanah biodiversiti," kata Musa.
Musa juga meminta rakyat khususnya penduduk Semporna terus gigih menghasilkan produk-produk tempatan yang berkualiti, kreatif dan dilengkapi pakej yang menarik sebagai tarikan utama pelancongan.
Katanya selain mempromosi keindahan seni kreatif tempatan, pelancongan juga merupakan platform terbaik untuk menambah pendapatan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk.
Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Hajjah Dayang Masuyah Awang Japar,Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kei. -Sabahkini
0 komentar:
Catat Ulasan