Radio KITA 24 Jam Sehari 7 Hari Seminggu

Radio Kita Untuk Kita Kita...
Launch in external player

Daftar Sekarang

Khas Untuk j-QAF Kent 2005 - .....

jqafkent Groups
Melanggan jqafkent
Email:
Lawat jqafkent groups

17 Disember 2007

Khutbah Hari Raya Qurban

" PENGAJARAN DAN IKTIBAR DARIPADA AIDILADHA "

Alhamdulillah, marilah kita bersyukur kehadrat Allah azzawajala, yang telah melimpahkan taufiq dan hidayah serta nikmatnya yang tidak terhingga kepada kita, berhimpun pada hari yang penuh berkat di rumah Allah ini, bahkan kepada seluruh umat Islam di mana sahaja berada, dua macam nikmat yang paling ketara dinikmati oleh umat Islam pada hari ini ialah:

Pertama : Kira-kira lebih tiga juta umat Islam sekarang ini sedang menjadi tetamu Allah, di tanah Suci untuk menunaikan ibadat Haji.

Kedua : Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat Haji, masih berpeluang menghayati syiar Aidiladha yang agung dan bermakna bagi seluruh umat Islam.

Umat Islam di Mekah almukarramah pada hari ini sedang sibuk dengan urusan kerja-kerja ibadat haji, samada sedang membuat lontaran jamrah aqabah di Mina atau sedang melakukan Tawaf di Baitullah dan Sa'ie atau ibadat-ibadat yang lainnya. Semalam tanggal 9 Zulhijjah, mereka berwukuf di Padang Arafah dengan pakaian ihram serba putih melambangkan ketulusan hati, sama-sama menyahut panggilan Ilahi, mengagungkan Allah S.w.t. dan kepadanya berserah diri dengan melafazkan talbiah yang menusuk jantung hati :

Ucapan Talbiah diulang-ulang, betapa hiba dan sayunya mereka mengalunkan kalimah Talbiah beramai-ramai sambil menitiskan air mata kegembiraan, diri yang kerdil, lemah dan daif, yang selama ini tanah Suci hanya menjadi impian, kerana ia tersangat jauh beribu-ribu batu, tidaklah mudah untuk sampai ke sana, terpaksa menggunakan wang yang banyak, mengambil masa yang panjang, terpaksa meninggalkan kampung halaman, meninggalkan anak, isteri dan sanak saudara yang dikasihi, dan kini Alhamdulillah dengan limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah, mereka telah berada di tengah-tengah lautan manusia yang sedang membanjiri padang Arafah, bagi menyempurnakan satu daripada rukun Haji, iaitu berwukuf di sana - wukuf di Padang arafah, itulah kemuncak bagi amalan Haji sebagaimana sabda Rasulullah S.a.w. :

Bermaksud : " Ibadat Haji itu kemuncaknya ialah wukuf di Arafah. "

Di Arafah itulah Datuk kita Adam dan Nenek kita Hawa mula bertemu, setelah mereka terpisah sekian lama, dengan menanggung penderitaan sebagai Kafarah atau pembersihan dosa akibat makan buah larangan syurga, dan sekarang di Padang Arafah inilah zuriat atau keturunan Nabi Allah Adam dan Hawa yang telah berselerak di seluruh permukaan bumi, berkenal-kenalan dan menjalin persaudaraan, walaupun mereka telah menjadi pelbagai bangsa, berlainan warna kulit, berlainan bahasa dan budaya, namun mereka masih mempunyai banyak persamaan, sama-sama menjadi hamba Allah, masing-masing mengakui dengan pengakuan yang satu :( Riwayat Abu Daud dan Tarmizi ).

Bermaksud : " Kami Redha Allah menjadi Tuhan kami, Islam menjadi agama kami, dan Nabi Muhammad S.a.w. Rasul ikutan kami. "

Dengan pengakuan yang demikian itulah, saudara-saudara yang dikasihi, maka telah lebur segala pangkat dan darjat, tak kira ketua atau rakyat biasa, tak kira jutawan atau buruh kasar, kini masing-masing merasa sama di hadapan Allah, jesteru masing-masing pun mengorak senyuman mesra, yang seorang memberi salam dan seorang lagi menjawab salam tersebut, lalu mereka berpeluk-pelukan menjalin hubungan persaudaraan yang erat dan mesra, sama-sama menghayati firman Allah :

Bermaksud : " Sebenarnya orang-orang yang beriman adalah bersaudara . "

Saudara-saudara Muslimin dan Muslimat sekalian,

Di Arafah dengan cuaca yang panas terik, adalah bayangan di Padang Mahsyar kelak. Di situlah mereka benar-benar insaf untuk mengelakkan panas terik yang dahsyat di Padang Mahsyar nanti, maka para jemaah bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan beristighfar sebanyak-banyaknya. Alhamdulillah, kini hati mereka damai, tenang dan tenteram, mereka seolah-olah mendengar bisikan halus di sudut hati kecil mereka : " Jangan bimbang, kamu adalah bakal penghuni syurga, kerana Rasulullah S.a.w. telah bersabda :

( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Bermaksud : " Haji Mabrur itu tiada balasan lain kecuali Syurga. "

Alangkah bahagianya mereka menunaikan ibadat haji, dengan memenuhi semua rukun, wajib-wajibnya, segala syarat, sunat dan adab-adabnya, maka mereka bakal memasuki Syurga. Di samping itu mendapat beberapa kelebihan yang lain, antaranya : Apabila mereka berdoa, nescaya doa mereka diperkenankan oleh Allah S.wt., dan jika mereka memohon keampunan, nescaya Allah mengampuni dosa-dosa mereka. Demikian maksud hadis Rasulullah S.a.w. di riwayatkan oleh Abu Hurairah R.a. Sabdanya lagi yang bermaksud :

" Perbelanjaan kerana menunaikan ibadat Haji adalah seperti perbelanjaan di jalan Allah, ganjarannya tujuh ratus kali ganda. "

Demikian antara lain kelebihan mengerjakan fardhu Haji ke Mekah. Oleh itu jika kita belum berkesempatan menunaikannya, maka hendaklah kita berazam dengan bekerja lebih tekun dan bersungguh-sungguh bagi meningkatkan pendapatan, hendaklah kita menabung mengikut keupayaan masing-masing. Mengikut kata Imam Al-Ghazali r.a :

" Bahawa orang yang belum mampu menunaikan fardhu Haji, cita-cita bagi menunaikan ibadat Haji ini wajib dibaharui pada setiap tahun. "

Saudara-saudara Muslimin dan Muslimat yang dikasihi sekalian,

Suatu kekeliruan yang besar berlaku dalam masyarakat kit selama ini, kerana kebanyakan mereka menganggap, bahawa Aidiladha bukan hari raya yang patut di perbesarkan, malah setengahnya memandang dingin dan sepi. Pada hal Aidiladha sama kelebihannya dengan Aidilfitri, betapa tidak, kerana Aidilfitri lebih merupakan hari kemenangan bagi diri individu, yang berjaya menundukkan nafsu selama sebulan. Manakala Aidiladha mengandungi kisah sejarah tiga manusia agung, yang sepatutnya di contohi oleh segenap lapisan masyarakat, terutama para pemimpin, ibu bapa dan para remaja, demi membina sahsiah diri dan seterusnya meraih kecemerlangan demi kecemerlangan, yang meliputi aspek jasmani dan rohani, duniawi dan ukhrawi. Bagi diri individu, keluarga dan umat. Demikian juga bagi sesebuah kampung, mukim, daerah-daerah negeri dan negara, semoga segala-galanya dalam keadaan terpimpin, mendapat sinar petunjuk Ilahi, mendapat limpahan rahmat dan keberkatan, untuk menuju suasana aman dan makmur, penuh kebahagiaan dan keharmonian.

Tiga manusia agung yang di maksudkan tadi ialah : Nabi Ibrahim sebagai bapa, Hajar sebagai isteri solehah yang bertakwa kepada Allah dan ibu penyayang, mempunyai kesabaran luar biasa yang tiada tolok bandingnya dan seorang lagi ialah Nabi Allah Ismail sebagai anak soleh yang berjiwa takwa, berjiwa tawakal hingga sanggup disembelih oleh bapanya demi menjunjung titah perintah Allah azzawajalla.

Nabi Allah Ibrahim sentiasa berdakwah bukan sahaja kepada diri dan keluarganya, malah kepada kaumnya dan orang lain, bukan sahaja di tanahair tempat kelahirannya, bahkan Baginda selalu berpindah-randah, mengajak manusia beriman dan membangun agama. Dalam melaksanakan tugas mulia dan suci ini, beliau menghadapi tentangan yang hebat daripada kaumnya hingga ke peringkat rancangan membunuhnya yang di lakukan oleh Raja Namrud, beliau ditangkap lalu dicampakkan ke dalam unggun api yang marak menyala menjulang tinggi, kesemuanya itu tidak mematahkan semangatnya, di hadapi dengan sabar dan penuh tawakal, Alhamdulillah- Nabi Ibrahim diselamatkan oleh Allah kerana beliau adalah khalilullah ( yakni Rasul yang mempunyai hubungan sangat akrab dengan Tuhannya.)

Nabi Allah Ibrahim dilahirkan telah menempa sejarah gemilang, meninggalkan warisan berharga kepada umat Islam seluruhnya, yang terus dinikmati daripada dahulu hingga sekarang, bahkan selagi masih wujud cahaya matahari dan bulan. Ya, Nabi Ibrahim bersama isterinya Hajar dan Puteranya Nabi Ismail , telah meneroka dan membangun Mekah menjadi Kota Suci dan pusat ibadat bagi orang Islam.

Nabi Ibrahim telah membawa isterinya Hajar, bersama Puteranya Ismail yang masih bayi, meredah lautan padang pasir yang luas serta cuacanya yang panas terik waktu siang dan terlalu dingin waktu malam, dari Palestin menuju ke Mekah, yang jarak di antara kedua-duanya lebih seribu batu. Beginilah betapa sulit dan susahnya pada waktu itu, tiada sebarang kemudahan kenderaan seperti yang ada sekarang ini. Kalau ada tunggangan pada waktu itu, mungkin binatang unta yang berjalan seperti kura-kura.

Alhamdulillah, berkat kesabaran serta cita-cita yang menggunung tinggi, akhirnya Nabi Allah Ibrahim a.s. bersama isteri dan anaknya selamat menjejakkan kaki di bumi suci di sisi Baitullahilharam, yang telah wujud sejak jutaan tahun yang silam.

Kemudian saudara-saudara, tidak lama selepas itu Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar, menerima satu lagi ujian yang lebih berat. Allah memerintahkan Rasulnya supaya pulang ke Palestin, kerana di sana telah wujud manusia yang ramai, yang perlu terus dipimpin, di beri dakwah serta Tarbiah oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Cuba gambarkan di hati kita saudara-saudara, betapa sedih dan pilunya seorang insan hendak berpisah daripada isteri dan anak yang disayangi. Demikian juga Hajar, betapa derita yang bakal ditanggungnya, kerana di tinggalkan oleh suami tersayang di tempat yang sunyi sepi, tiada manusia, tiada air dan tiada tumbuh-tumbuhan, namun ujian yang sangat berat itu di terima oleh Nabi Ibrahim dan isterinya Hajar dengan penuh rela dan penuh kesabaran.

Saudara-saudara muslimin dan muslimat yang dimuliakan,

Sebelum meninggalkan anak dan isteri yang disayangi disisi Kaabah, Nabi Ibrahim A.S telah berdoa yang terakanm dlaam Al-Quran surah Ibrahim ayat 37:

Bermaksud: "Wahai tuhanku, aku telah menempatkan keluargaku disebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tandus, tiada tumbuh-tumbuhan di sana, disisi rumahmu yang diharamkan mencerobohnya. Wahai tuhan kami, (mereka ditempatkan disana) supaya mendirikan solat (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah sebahagian daripada manusia tertarik hati kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke sana), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan, semoga mereka bersyukur.

"Nabi Allah Ibrahim berdoa lagi:Maksudnya: "Wahai tuhanku, jadikanlah (negeri Mekah) ini sebagai negeri yang aman dan sentosa, dan berikanlah rezeki dari pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat diantara mereka."Alhamdulillah, berkat doa Nabi Ibrahim A.S dan berkat ketaqwaan dan kesabaran Hajar, akhirnya telah wujud "Telaga Zam-Zam", yang airnya tidak putus-putus dan Mekah pula mula dikunjungi manusia. Akhirnya Mekah telah menjadi sebuah kota suci yang aman dan makmur, sentiasa dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh pelusuk muka bumi sepanjang tahun, kerana menunaikan umrah, ziarah dan haji.Kemudian sampai ke satu peringkat saudara-saudara, Nabi Ibrahim menerima ujian yang sangat berat iaitu ketika beliau sedang bermesra dengan anak kesayangannya setelah sekian lama tidak bertemu, tiba-tiba beliau diperintahkan oleh Allah supaya menyembelih anak tersebut.

Allah merakamkan kisah simbolik yang amat bermakna dan menyayat hati ini didalam Al-Quran surah As Saffat ayat 102 hingga 108:Bermaksud: "Maka anak itu sampai (kepada kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: " Wahai anak kesayangannku!, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu!". Anaknya menjawab: "Wahai bapaku!, jalankalah apa yang diperintahkan kepadamu, Insyaallah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar."

Maksud ayat: "Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu - telah menjalankan perintah kami), serta kami menyerunya : " Wahai Ibrahim !, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu !, demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata. Dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yan gbesar dan kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian".

Saudara-saudara kaum muslimin yang dihormati sekalian,

Demikianlah tadi kisah perjuangan dan pengorbanan agong yang dilakukan oleh nabi allah ibrahim dan keluarganya. Hari ini kita berhimpun disini, kita mengulang semula kisah perjuangan agong dan suci seperti yang disebutkan tadi.Tujuannya bukan hanya sekadar memenuhi satu program tahunan yang biasa kita lakukan, tetapi hendaknya akan memberi suntikan rohani, meniupkan semangat kesedaran, bahawa hidup didunia ini punya matlamat yang adil dan unggul, bukan sekadar untuk mrmrnuhi kehendak nafsu makan minum, bergurau senda, hubungan kelamin dan sebagainya, bukan itu semata-mata, tetapi kita memikul amanah dan tanggungjawab:

Pertama: Amanah sebagai hamba allah yang dituntut agar mengabadikan diri kepadanya.

Kedua : Tanggungjawab sebagai khalifah allah dimuka bumi , yang dituntut supaya kita membangun diri, keluarga dan umat, demikian juga membangun kampung halaman, tempat kita tinggal dan mencari penghidupan, seterusnya membangun tanahair atau negara kita yang tercinta, sesuai dengan peranan dan kemampuan masing-masing, berpandu kepada syariat allah yang bersumber daripada al-quran dan as-sunah, semoga menuju kepada suasana aman dan makmur, penuh keharmonian dan kebahgiaan untuk dinikmati bermasa.

Masalahnya sekarang ini saudara-saudara, dalam usaha kita untuk mencapai matlamat unggul itu, telah berlaku pula gejala-gejala yang tidak sihat. Hal ini pada setiap hari didedahkan menerusi akhbar dan media yang lain. Kita merasa malu kerana imej agama islam serta umat islam dinegeri ini boleh terjejas dengan berlakunya kejadian-kejadian buruk yang tidak diingini itu seperti sumbang mahram, dimana ianya adalah satu perbuatan yang keji dan paling memalukan, iaitu datuk memperkosa cucu, bapa angkat tergamak berzina dengan anak angkatnya, rasuah, menggelapkan wang kerajaan dan wang rakyat berjuta-juta ringgit, krisis akhlak dikalangan remaja dan pelajar sekolah seperti wabak penagihan dadah yang terus berlaku, murid ponteng sekolah, remaja lari dari rumah, anak melawan ibu bapa, murid melawan guru, malah ada yang terlibat dengan jenayah seperti pergaduhan sesama pelajar dengan menggunakan senjata tajam, percubaan bakar sekolah dan sebagainya.

Seperkara lagi yang mendukacitakan ialah masih banyak berlakunya perceraian dikalangan keluarga muslim, demikian juga masih berlaku persengketaan antara sesetengah orang islam sesama orang islam, malah ada yang tidak bertegur siapa melebihi daripada tiga hari, walhal perkara itu dilarang keras dalam islam, sebagaimana sabda rasulullah s.a.w : (Riwayat muslim daripada Ibnu Umar)

Bermaksud :" Tidak halal-haram hukumnya bagi seorang mukmin tidak menegur saudaranya sesama mukmin lebih daripada tiga hari".

Jika tidak bertegur dalam lingkungan masa tiga hari itu pun hukumnya adalah dimakruhkan.

Demikian saudara-saudara yang dikasihi sekalian, antara penipuan atau keadaan buruk yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini, yang perlu kita renungkan, kita cari sebab musababnya dan perlu difikirkan cara untuk menangani atau mengatasinya.

Saudara-saudara kaum muslimin-muslimat yang dihormati sekalian, anggaplah suasana buruk yang tidak menyenangkan seperti yang disebutkan tadi adalah sebagai penyakit, dan kita percaya setiap penyakit itu ada ubatnya, sebagaimana sabda rasulullah s.a.w yang mashur:

Bermaksud : "Tiap-tiap penyakit ada ubatnya kecuali mati".

Ya, sesungguhnya bagi umat islam masih mempunyai ubat yang mujarab untuk merawat dan mengubati penyakit masyarakat yang berlaku kini, kita hendaklah kembali kepada petunjuk allah, allah yang mencipta diri kita, dan allah mengetahui prihal diri kita, dengan itu kita mesti merujuk dan berpandu kepada pendidikan allah.

Perlu disedari, bahawa pada diri manusia ada dua kekuatan yang sentiasa bertarung. Dalam hal ini allah berfirman :(As-Syams : 7-8)

Bermaksud :"Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaanya), serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa".

Menyedari hakikat demikian saudara-saudara, maka kita perlu menjalani "pendidikan Rabbani" sepanjang hayat, selagi akal fikiran kita masih siuman. Ini bertujuan semoga diri kita sentiasa dalam keadaan terpimpin, berada dilorong kebaikan dan terhindar dari runtunan nafsu syahwat serta godaan syaitan yang sentiasa cuba mengheret manusia kelembah kerosakan dan kesesatan.

Pendidikan Rabbani yang ditentukan oleh allah adalah dalam bentuk ibadat seperti berikut:

·         Ibadat harian iaitu solat fardhu yang lima, dihiasi pula dengan solat-solat sunat termasuk solat tahjud dipenghujung malam, zikrullah , istigfar dan sebagainya.

·         Ibadat mingguan, seperti solat jumaat yang merupakan muktamar mingguan bagi masyarakat islam setempat, selain dari itu ialah puasa sunat hari isnin dan khamis.

·         Ibadat tahunan seperti puasa pada bulan ramadhan,menghayati syair Aidil Fitri dan Aidil Adha.

·         Kurangnya, iaitu ibadat haji ditanah suci mekah sebagai rukun islam yang kelima dan boleh disifatkan sebagai "muktamar islam sedunia".

Demikianlah saudara-saudara , antara lain "pendidikan rabbani" yang perlu dihayati bagi diri individu, setiap anggota keluarga dan masyarakat. "Pendidikan rabbani" ini adalah bertujuan demi mengagungkan allah dan sebagai tanda bersyukur atas nikmat allah yang tidak terhingga, disamping itu mendidik diri kearah berakhlak mulia, melakukan kebaikan dan menjauhi perkara keji serta mungkar. "pendidikan rabbani" ini adalah sebagai ciri paling utama bagi mewujudkan "Baldatun Thoibatun Warabun Ngafurun" yakni negara yang baik dibawah keampunan ilahi, Seperti yang telah diusahakan oleh nabi ibrahim dan keluarganya tadi.

Kemudian perlu disedari saudara-saudara, untuk menghayati "pendidikan rabbani" ini bagi diri dan keluarga seterusnya masyarakat umum, tidakkah mudah, ia memerlukan adanya usaha dakwah dan tarbiah yang berterusan, dilakukan dengan gigih, dengan penuh kesabaran, sanggup menghadapi kesusahan dan cabaran, disamping itu kerja mulia yang diperintahkan oleh allah ini hendaklah didokong secara kumpulan, bagi sesebuah keluarga pula didokong oleh bapa sebagai ketua keluarga, isteri dan anak sebagai pendorong dan pengukuh, sebagaimana yang dilakukan oleh keluarga nabi allah ibrahim a.s tadi.

Saudara-saudara muslimin dan muslimat yang dihormati Allah,

Alhamdulillah, kita sedang menghayati syiar aidil adha, hari raya umat islam yang mempunyai fadhilat dan kelebihannya yang tersendiri, kalau aidil fitri kita hanya disunatkan bertakbir disepanjang-panjang malam hari raya sejak terbenam matahari akhir ramadhan hingga esok harinya solat aidil fitri didirikan, dinamakan "takbir Mursal", tetapi bagi aidil adha ini, selain takbir yang disebutkan tadi, kita masih disunatkan lagi meneruskan takbir setiap kali selepas solat, selama empat hari iaitu pada hari ini dan diikuti tiga hari tasrik, 11,12 dan 13 zulhijjah, takbir ini dinamakan "takbir muqaiyad". Selama empat hari ini juga bagi yang mampu disunatkan menyembelih binatang korban.

Saudara-saudara yang dikasihi!,

Aidil adha hendaklah diperbesarkan dengan sewajarnya, iaitu dengan membesarkan dan mengagungkan allah, yang telah memberikan kepada nikmat iman dan islam, disamping itu kita mengenang dan mengambil ikhtibar serta pengajaran daripada para utusan allah, yang menerima dan mengembangkan islam hingga sampai kepada k ita, khususnya nabi allah ibrahim dan nabi kita muhammad s.a.w.

Sesungguhnya jasa nabi ibrahim dan keluarganya untuk membangun islam amat besar. Mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan nabi muhamad s.a.w, beberapa syariat nabi ibrahim a.s seperti ibadat haji dan ibadat korban, disyariatkan semula kepada nabi muhamad s.a.w dan umatnya, kerana kedua-dua ibadat ini mempunyai hikmat penting dan besar demi mengagungkan allah, disamping mendidik kearah akhlak dan peribadi yang mulia serta unggul untuk melayakkan umat muhamad s.a.w menjadi sebaik-baik umat sebagaimana firman allah didalam surah Al-Imran ayat 110:

Bermaksud :" Kamu (wahai umat muhamad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan (bagi) faedah umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada allah (dengan sebenar-benar iman)".

Ikhwani Al-Muslimin Rahikumullah,

Ibadat haji adalah kemuncak rukun islam yang kelima, ia diletakkan pada peringkat terakhir, tujuannya ialah supaya setiap orang dapat membuat persiapan untuk melengkapkan diri dengan masa yang lua, untuk membolehkan menunaikan ibadat haji dengan sempurna. Perlu diingat, bahawa menunaikan fardhu haji adalah satu jihad, kita perlu:

Pertama: mempunyai kelengkapan yang cukup. Iaitu, perbelanjaan untuk diri dan tanggungan yang akan ditinggalkan, ini mendorong umat islam sebagai umat yang rajin bekerja.

Kedua:dari segi ilmu perlu memahami cara melaksanakan kerja-kerja haji, mematuhi sejarah, falsafah dan pengajaran disebalik kewajipan menunaikan haji, ini mendorong umat islam rajin belajar.

Ketiga : untuk menunaikan ibadat haji memerlukan tubuh badan yang sihat. Ini akan mendorong umat islam supaya berusaha membina kesihatan jasmani dan rohani serta sentiasa berikhtiar untuk mengekalkan kesihatan.

Keempat : aman perjalanan. Ini akan mendorong bagi sesuatu umat dan negara itu mempunyai pemimpin diperingkat antarabangsa, bagi berusaha memelihara keamana sedunia.

Kelima : ibadat haji yang dilakukan ditanah suci mekah al-muqaramah, selain kita menyahut panggilan ilahi, ia juga sebagai "muktamar islam sedunia", yang dihadiri oleh pelbagai bangsa yang menggunakan pelbagai bahasa. Ini sepatutnya mendorong umat islam menguasai ilmu perhubungan dan mengetahuipelbagai bahasa.

Saudara-saudara muslimin dan muslimat yang dihormati,

Memperkatakan tentang korban pula, ia mendidik umat islam supaya bersifat dermawan dan murah hati, samada dari segi wang ringgit dan kebendaan yang lain, mahu pun dari segi tenaga, ilmu dan kemahiran yang masih ada disisi kita, kerana semua nikmat yang ada pada hakikatnya adalah pinjaman dan amanah allah s.wt, yang kelak pasti akan diambilnya satu persatu, dan diri kita pun pulang kehadrat allah, oleh itu segala nikmat yang ada pada diri kita pergunakanlah untuk menafaat diri dan keluarga, sebahagiannya dibelanjakan untuk kepentingan islam dan kebajikan orang-orang islam.

Oleh itu , bagi mereka yang mampu, lakukanlah penyembelihan korban pada setiap tahun, yang dagingnya dijadikan sedekah kepada fakir miskin dan boleh dijadikan hadiah kepada orang-orang yang mampu seperti jiran tetangga kita serta rakan taulan yang beragama islam. Korban sunat, orang yang melakukan korban sunat boleh mengambil 1/3 daging korban untuk dirinya dan keluarganya.

Sabda rasulullah s.a.w:

Maksudnya:": perbesarkanlah korban kamu, kerana ia akan menjadi tungangan kamu ketika kamu melalui Siratul Mustaqim di akhirat kelak.

Al-Kausar :1-3, Bermaksud :" sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai muhamad) kebaikan-kebaikan yang banyak (didunia dan diakhirat). Oleh itu kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang-orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)".

0 komentar:

Khat Arabi

الخط والكتابة العربية الخط والكتابة العربية ميم همزة
Publish at Scribd or explore others: Books grammar Religion-Islam

Sukatan Baru

Asas-Asas Penyelidikan Pendidikan

Belajar Khat

تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي mahmoud تعليم الخط في اللغة العربية للصف الأول الأساسي
Publish at Scribd or explore others: Study Guides, Notes, School Work تعليم خط الصف الأول

JAPIM

Loading...

Doa Mengelak Wabak

Doa Mengelak Wabak

Lawatan Sekitar Kota Kinabalu 2011-02-17

Loading...

Sekitar Hari UB 18/10/08

Loading...

Aidil Fitri 1/10/08

Loading...

Konvo j-QAF 07

Loading...

Peserta Kursus Di Oman

Loading...

Mutiara Kata