Tidak ada sebarang amalan yang memiliki kelebihan untuk  dilakukan pada hari 'Asyura MELAINKAN PUASA seperti yang  thabit di dalam beberapa hadith Nabi saw, antaranya satu hadith dari Abi Qatadah  r.a. yang menceritakan seorang lelaki bertanya kepada Nabi saw tentang  (kelebihan) puasa 'Asyura. Nabi saw menjawab:
 
  أحتسب على الله أن يكفر السنة التي  قبله
 Maksudnya: "Aku mengharapkan Allah mengampunkan dosa setahun  sebelumnya." (HR Muslim)
 Para ulama umat Islam telah bersepakat menyatakan puasa  'Asyura ini termasuk di dalam sunah yang thabit dari Nabi saw. Disunatkan bagi  setiap muslim melaksanakannya, Ia adalah hari yang kesepuluh  Muharram. 
 Adapun cara mununaikannya, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah  menyatakan: "Susunan (kelebihan) puasanya ada tiga, yang paling sempurna ialah  puasa (dimulakan) sehari sebelumnya dan sehari selepasnya, berikutnya (boleh  juga) puasa pada hari kesempilan (Tasu'aa) dan kesepuluh ('Asyura), terdapat  banyak hadith dalam perkara ini, berikutnya pula (boleh juga) puasa pada sepuluh  Muharram sahaja." (Zaad al-Ma'ad. 2/76)
 Adakah Kelebihan-kelebihan yang lain ?
 Tidak ada kelebihan lain pada hari 'Asyura melainkan puasa  sahaja. Jika ada kelebihan-kelebihan lain ia datang dari sumber yang tidak sahih  dari Nabi saw. Sebagai contoh satu riwayat yang dikatakan hadith:
 من وسع على أهله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر  سنته
  Maksudnya: "Sesiapa yang meluaskan keluarganya pada hari  'Asyura, Allah akan meluaskan untuknya sepanjang tahun."
  Hadith ini adalah diriwayatkan dalam beberapa bentuk, namun  satupun daripadanya tidak sahih seperti yang telah dijelaskan oleh al-Hafidz Ibn  Rajab al-Hanbali di dalam  Latoif al-Ma'arif (113). al-Syeikh Muhammad  Nasiruddin al-Albani berkata: "Demikian itulah kesemua jalan-jalan hadith ini,  berlegar dengan periwayat-periwayat yang Mungkar dan Majhul, barangkali juga  mereka dari kalangan orang-orang yang memusuhi Hussain r.a. yang memalsukan  hadith kelebihan memberi makan, memakai celak dan selainnya pada hari 'Asyura  sebagai bertentangan dengan Syi'ah yang menjadikan hari ini hari kesedihan  terhadap Hussain r.a. yang telah dibunuh pada hari tersebut." (Tamam al-Minnah :  411-412)
 Perkara yang sama juga terhadap kelebihan menghidupkan malam  'Asyura atau solat sunat 4 rakaat padanya, ziarah kubur pada hari 'Asyura dan  sebagainya yang bersumberkan hadith tidak sahih. Sebahagian orang ada juga yang  mendakwa pada hari 'Asyura inilah berlakunya taubat Nabi Adam, berlabuhnya  perahu Nabi Nuh atas bukit al-Juudi, kembalinya Nabi Yusuf kepada Nabi Yaakub,  selamatnya Nabi Ibrahin daripada api dan sebagainya, semua ini diriwayatkan  daripada hadith-hadith yang palsu. (Sila lihat al-Fatawa al-Kubra.  2/248-249)-(melalui perantaraan laman islamonline.net)
  wallahua'lam. 
 
0 komentar:
Catat Ulasan