KUALA TERENGGANU, 3 Okt (Hrkh) - 'Paku dulang paku serpih, kata orang diri yang lebih' begitulah ungkapan yang layak digunapakai terhadap Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang sering kali 'mempergunakan' pihak tertentu termasuk anggota keselamatan polis.
Tragedi berdarah pada malam 8 September di Batu Buruk telah mencetus dimensi baru corak politik di negeri ini sama ada amalan demokrasi masih boleh digunapakai atau sebaliknya.
Peruntukkan yang diberi dalam Perlembagaan Negara mengenai hak kebebasan bersuara bagi setiap rakyat semakin terhakis hanya digunakan bagi mengekalkan kuasa pemerintahan Umno/BN sahaja.
Tinjauan Harakah menemui beberapa orang lagi mangsa 'keganasan' polis serta saksi yang melihat kejadian di depan mata penglibatan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan SB.
Abdul Majid Kadir, 49, dari Kampung Mengabang Telipot melahirkan rasa kesal dengan tomohan pihak tertentu terhadap PAS yang merosakkan harta benda awam dalam kejadian 8 September lalu.
Katanya, tuduhan PAS 'mengganas' serta menganjurkan rusuhan pada malam itu tidak benar sama sekali dan menyeleweng fakta sebenar. "Saya ada pada malam itu untuk mendengar ceramah Bersih dan tidak dapat masuk kerana sekatan polis tetapi orang ramai berkumpul secara aman melihat keadaan itu. "Saya lihat polis dan FRU yang mula melepaskan air 'water cannon', gas pemedih mata, menangkap dan memukul orang awam terlebih dahulu," jelasnya kepada Harakah, semalam.
Bahkan, katanya kejadian merosakkan kenderaan awam termasuk motosikal dan kereta yang pecah itu dilakukan sendiri oleh anggota FRU yang sedang 'mengamuk'. Menurutnya, terdapat beberapa rakaman yang menggunakan 'handset' oleh orang awam yang melihat kejadian itu dirampas pihak polis dan FRU terbabit. "Saya melihat sendiri beberapa anggota FRU bertindak agresif menendang puluhan deretan motosikal dan memecahkan cermin kereta kancil warna merah dengan kayu 'cota' mereka," ujarnya.
Kata beliau, tuduhan PAS buat rusuhan adalah tidak benar dan kerosakkan harta benda awam yang berlaku sekitar jam 2.30 pagi turut diragui kebenarannya.
Seorang mangsa tahanan polis, Tengku Mohd Faisal Tengku Ambak, 33, dari Dungun menyifatkan penangkapan terhadapnya dibuat secara rambang oleh pihak polis.
Beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan 'merusuh' atau berdemonstrasi pada malam itu tangkap ketika berada di Taman Awam jam 8.45 malam tersebut.
"Polis tangkap saya secara rambang dan saya sama sekali tidak terlibat dengan rusuhan, demonstrasi atau bakar bendera.
"Saya ditahan ketika berada di Taman Awam seawal jam 8.45 malam tanpa sebab dan dibawa menaiki 'black maria' bersama 10 tahanan lain," jelasnya kepada Harakah, semalam.
Katanya, situasi malam itu 'dikuasai' oleh pihak pasukan keselamatan polis yang berperanan mencetuskan kekacauan di Batu Burok.
Manakala, seorang penduduk Imran Ali, 35, dari Jalan Budiman menyifatkan tindakan polis SB dan FRU 'ganas'.
"Saya berani kata sebab saya lihat mereka (polis,FRU) bertindak ganas dengan merosakkan motosikal dan kereta orang awam yang diletakkan di tepi jalan," ujarnya.
Katanya, kerosakkan kenderaan awam yang dipaparkan dalam akhbar-akhbar itu bukan angkara PAS tetapi pihak FRU sendiri.
Menurutnya, beberapa rakaman dibuat oleh orang awam yang melihat aksi ganas FRU itu telah dirampas 'handset' berkamera mereka. - mks.
0 komentar:
Catat Ulasan